
HUJAN lebat lebih dua hari sejak Jumaat minggu lalu terutama di Lembah Klang ternyata memberi impak yang amat besar. Banyak kawasan ditenggelami air. Paras air naik mendadak dalam tempoh yang singkat sehingga berlakunya bah buruk.
Banyak kawasan yang terjejas teruk dan mangsa terperangkap untuk tempoh lama sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.
Punca bah itu dikatakan kerana intensiti hujan yang tinggi secara berterusan yang dibawakan oleh Monsun Timur Laut.
Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, banjir yang berlaku terutamanya di Lembah Klang turut disebabkan oleh kesan perubahan iklim.
Hal ini kerana dua perkara utama akibat kesan perubahan iklim ialah kejadian banjir yang lebih ekstrem, sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapannya serta banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut.
“Pertembungan dua senario itu memungkinkan kejadian banjir lebih buruk seperti bencana bah besar pada 2014 di Pantai Timur dan kini banjir terburuk dalam tempoh tujuh tahun di Selangor.
“Saintis juga menjangkakan kondisi ekstrem itu akan ‘semakin memburuk’ dalam tempoh 20 tahun ke hadapan,” ulasnya.
Tambah Haliza, ini membuktikan walaupun perubahan iklim berlaku tanpa disedari, kesannya dapat dilihat dengan mata kasar dalam kehidupan seharian termasuk kejadian banjir.
Lantaran itu, di Selangor berlaku taburan hujan lebih dua kali ganda paras tertinggi pernah direkodkan berbanding 180milimeter (mm) sebelum ini.
“Curahan hujan dalam tempoh 24 jam bersamaan jumlah hujan untuk sebulan menyebabkan banyak kawasan di Selangor tenggelam. Keadaan diburukkan oleh fenomena air pasang mencecah 4.5 meter yang biasanya hanya mencapai 60mm,” jelas Haliza.
Maka, ini menjadi penyebab berlakunya bah besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi. Akibatnya air sungai tidak dapat mengalir terus ke laut apabila bertembung dengan air pasang ini mengakibatkan banjir berlaku.
Dalam pada itu, Haliza menambah dalam konteks Asia Tenggara termasuk Malaysia, dijangka berlaku peningkatan kitaran air yang akan menyebabkan kejadian cuaca melampau seperti hujan lebat, banjir dan kemarau yang lebih kerap.
Menurutnya, hal itu telah dinyatakan sendiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
“Malaysia tidak terlepas daripada menerima kesan itu seperti yang ditunjukkan oleh hasil kajian data hujan 40 tahun iaitu Study on Rainfall Change and Distribution in Malaysia yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2018.
“Perbandingan purata hujan bulanan bagi tempoh 1999 hingga 2017 dan 1978 dan 1998 menunjukkan berlaku penambahan peratus hujan pada Januari iaitu sebanyak 46.4 peratus, Mac (9.8 peratus), Jun (2.9 peratus), Ogos (9.7 peratus), Oktober (1.6 peratus) dan Disember (12.3 peratus),” jelasnya.
Tambah beliau, ini sekali gus menunjukkan Disember dan Januari merupakan bulan yang sensitif dan akan menerima lebihan hujan bulanan di Semenanjung Malaysia.