SHAH ALAM – Sebanyak 5,085 laporan diterima berkaitan banjir di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, jumlah laporan harian yang direkodkan sebanyak 467 seperti kerosakan peralatan rumah, kereta dan terkandas tidak dapat hadir kerja.
“Sebanyak lapan pasukan Op Cantas Banjir yang akan membuat pemantauan 24 jam sehari bagi memastikan tiada kes pecah dan masuk premis berlaku terutama di Pekan Sri Muda.
“Setakat 6 petang hari ini, tiada insiden jenayah dikesan berlaku di kawasan banjir terutama Pekan Sri Muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu seramai 3,794 mangsa banjir masih ditempatkan 21 pusat pemindahan sementara (PPS).
Antara tambahan tiga lokasi baharu PPS adalah Sekolah Kebangsaan Kemuning 2, Surau al-Hijrah di Seksyen 31 dan Masjid Muhsini Kampung Sungai Kandis.
“Mangsa banjir kekal 14 orang dan tiada mayat banjir dijumpai setakat pukul 6 petang ini,” jelasnya. -K!ONLINE














