fbpx

Tukar genre, Azzam Sham takut penerimaan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK memegang takhta sebagai juara program realiti Big Stage musim pertama, kehadiran penyanyi Azzam Sham semakin mendapat perhatian dan disedari ramai.

Biarpun langkah mula karier yang baru hendak dibinanya terganggu dek kehadiran pandemik, namun dia pantas bangkit membina semangat agar impian dan cita-citanya dapat terus bersemadi dalam dunia seni tanah air.

Dalam perjuangan meneruskan perjalanan, Azzam mencuba kelainan dengan menyuntik sisi berbeza menerusi jalur genre yang dipersembahkan, sekali gus lari daripada kebiasaan.

Pemilik nama lengkap Muhammad Azzammuddin Lop Hisham itu memberanikan diri dengan cabaran baharu apabila tampil meluncurkan genre rancak untuk single kelima berjudul Baby Bambam.

Cerita pemuda berusia 24 tahun itu, dia mahu melakukan sesuatu yang berbeza dalam profil karyanya dan enggan terperuk dengan hasil kerja yang sama.

TAMPIL kelainan, lagu Baby Bambam menonjolkan sisi berbeza dan ceria Azzam berbanding imej tipikalnya sebagai penyanyi lagu balada. Foto – RUSA MUSIC

“Semua orang tahu, genre yang sering saya perjuangkan sejak awal kemunculan dalam industri adalah balada dan lagu-lagu berat. Single terakhir sebelum Baby Bambam iaitu Cinta Jangan Pergi juga berjalur balada.

“Jadi menerusi single kelima ini, saya nak tunjuk sisi kelainan. Liriknya juga tak menyimpang atau ‘deep’, jadi pendengar mudah memahami,” ujarnya ketika sesi temu bual secara maya baru-baru ini.

Tambah Azzam, keberaniannya tampil dengan genre tersebut disusuli dengan matlamat lain iaitu untuk mencuri perhatian golongan sasaran seperti kanak-kanak dan remaja.

“Memang saya cenderung bawa lagu balada tapi menerusi lagu Baby Bambam, saya nak buat luar dari kotak dan imej saya. Lagipun lagu balada memang susah untuk dapat perhatian remaja dan kanak-kanak.

“Pada masa sama, saya tak nak letakkan had dalam berkarya. Saya nak buktikan bahawa saya boleh bawa pelbagai jenis genre,” tuturnya.

Cabaran vokal, keraguan

Apabila cuba beralih arah, Azzam yang sudah sebati dengan jalur balada mengakui terpaksa berdepan cabaran dalam proses menghayati dan menyesuaikan diri dengan nuansa baharu.

Kata anak sulung daripada empat beradik itu, walaupun Baby Bambam kedengaran rancak bagi pendengar, tetapi sebenarnya dia mengalami kesukaran ketika menyanyikannya.

KESINAMBUNGAN kerjayanya pada masa hadapan, anak muda ini mahu menyambung pelajaran dan mengejar cita-cita bergelar pendidik.

“Sebenarnya lagu ini sudah dirakam dari tahun lepas lagi. Tapi prosesnya agak terganggu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, ada juga halangan dari segi pemilihan lagu dan tahun lepas, bertindih dengan kesibukan peluncuran lagu Cinta Jangan Pergi.

“Dari segi vokal pula, saya akui agak susah untuk menyanyikan lagu ini sebab suara saya besar dan sesuai untuk genre balada. Tapi macam saya katakan, inilah masa untuk cuba lakukan perbezaan,” getusnya.

Di sebalik keberanian mencuba perkara baharu, tetap timbul rasa bimbang dan gementar dalam diri Azzam.

Hal ini kerana, dia gusar andai pembaharuan yang dipegangnya ketika ini tidak diterima ramai.

“Pada awalnya, saya mengaku agak tak yakin. Dalam hati tertanya juga, boleh atau tidak orang terima saya menyanyikan lagu sebegini. Tapi menerusi lagu ini, saya jadikan sebagai tanda aras untuk pergi lebih jauh dalam industri,” katanya lagi.

Kahwin, kebimbangan

Umum tahu, Azzam sudah mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya yang juga seorang penyanyi, Sheryl Shazwanie pada 30 September lalu di kediaman keluarga wanita itu.

Memilih menamatkan zaman bujang pada usia muda, segala perancangan dan persiapan dipermudahkan buat pasangan itu.

Masih belum mendedahkan tarikh sebenar mereka akan disatukan, Azzam bagaimanapun memohon pengertian, dia perlu menjaga sensitiviti kedua-dua belah pihak keluarga.

DALAM perancangan, Azzam memasang hasrat untuk mengeluarkan lagu duet bersama cinta hatinya, Sheryl Shazwanie.

“Insya-Allah, awal tahun depan kami akan melangsungkan pernikahan. Cuma tak boleh kongsi tarikh buat masa ini. Nanti ada masa sesuai, saya akan beritahu,” jelasnya.

Pada masa sama, keadaan semasa negara yang diancam kewujudan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron cukup meresahkan apatah lagi semua orang baru berpeluang kembali hidup bebas selama beberapa bulan.

Gusar andai varian baharu merencatkan perjalanan majlis perkahwinannya kelak, Azzam hanya memohon doa yang baik-baik daripada peminat.

“Sebenarnya memang inilah kerisauan kami. Memandangkan ada varian baharu, jadi risau kalau dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi.

“Kalau boleh, memang nak elak. Tak naklah PKP masa majlis nak berlangsung nanti. Kami hanya mampu merancang, tapi minta dijauhkan,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI