fbpx

Peguam Long Tiger tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaharudin Ali

JOHOR BAHRU – Pihak guaman, Shaharudinali Azfarazmi & Co yang mewakili Abdul Hamim Ab. Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan ‘Long Tiger’ umum terpaksa menarik diri sebagai peguambela beliau di dalam kes-kes yang berkenaan.

Peguambela, Datuk Shaharudin Ali berkata, pihaknya mengalami masalah untuk mendapatkan arahan-arahan seterusnya daripada Abdul Hamim, 32, bagi maksud perjalanan kes kes yang membabitkannya.

Beliau berkata, firma guamannya adalah peguambela kepada suspek etnik Rohingya itu dalam beberapa kes jenayah dan sivil yang sedang berjalan.

Jelasnya, sejak anak guamnya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak sehingga hari ini, Abdul Hamim masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

“Seperti yang diketahui umum, Abdul Hamim atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ telah melarikan diri daripada lokap Mahkamah Tangkak pada 15 Disember lalu dan berita ini telah tersebar luas.

“Kami dengan berat hati, terpaksa menarik diri sebagai peguambelanya di dalam kes-kes yang berkenaan kerana kami mengalami masalah untuk mendapatkan arahan-arahan seterusnya daripadanya bagi maksud perjalanan kes kes yang membabitkan beliau.

“Sebagai peguambela, kami juga merasai, Abdul Hamim telah melarikan diri semasa perjalanan prosiding kes-kes beliau mencerminkan bahawa beliau tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami dan tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! pada 15 Disember melaporkan bahawa suspek etnik meloloskan diri dari lokap mahkamah melalui pintu utama sebelum lelaki itu dibawa menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Shaharudin memberitahu, lelaki yang menjadi buruan semua kontinjen polis itu mempunyai sebab tertentu bertindak demikian.

“Abdul Hamim mungkin mempunyai sebab tertentu mengapa dia mengambil tindakan sedemikian, dan dia tetap tidak bersalah kecuali selepas disabitkan oleh mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Shaharudin mendakwa terdapat cubaan mencederakan dan membunuh anak guamnya ketika ditahan di dalam penjara dan pihaknya telah melakukan satu laporan polis berhubung perkara itu.

Semalam, Ketua Polis, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun, yang disyaki rakan subahat Long Tiger. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI