fbpx

Kerja keras, Bunga Isme azam beli rumah kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM masa dua tahun bergelar penyanyi, Bunga berjaya membeli rumah pertama yang dihadiahkan buat ibu tercinta.

PETALING JAYA – Selepas membeli rumah pertamanya pada September lalu, penyanyi rap Bunga Isme berazam untuk membeli rumah kedua pada tahun depan.

Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, 21, berjaya membeli rumah pertama hanya selepas dua tahun bergelar seorang penyanyi.

Menurut penyanyi lagu Intan Payung itu, rumah pertama yang dibeli adalah hadiah untuk ibunya, Siti Rohani, manakala rumah kedua yang bakal dibelinya kelak adalah buat dirinya sendiri.

“Tahun depan saya berusia 22 tahun dan saya berazam untuk habis belajar, muncul dengan album sendiri dan ingin membeli sebuah rumah lagi.

“Sebelum ini saya beli rumah untuk ibu dan rumah untuk diri sendiri belum ada lagi. Insya-Allah untuk mencapai impian tersebut saya akan bekerja keras dan meletakkan sasaran untuk dicapai,” kongsinya tentang azam tahun 2022.

Terdahulu, Bunga mendedahkan telah menabung untuk membeli rumah jenis kondominium yang terletak di Hulu Langat, Selangor sebagai hadiah buat ibunya.

Berkongsi tentang karier seni, meskipun masih hijau dalam bidang muzik, Bunga tidak menyangka single Intan Payung dendangannya bersama Noraniza Idris berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 36.

Berdebar dan teruja, Bunga berjanji akan melakukan yang terbaik meskipun Noraniza tidak akan bersamanya kerana mengerjakan umrah ketika pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 berlangsung selama dua hari bermula 31 Disember depan.

“Pencapaian terbesar untuk saya tahun ini adalah muncul dengan single Intan Payung bersama penyanyi legenda Noraniza Idris.

“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik kerana ini pengalaman pertama saya ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 36. Jika ada rezeki akan ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya mempersiapkan diri untuk bertanding walaupun waktu itu jadual kuliah agak padat. Semuanya di luar jangkaan dan saya bersyukur dengan setiap rezeki yang diberi kepada saya,” tutur Bunga yang ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi terbaharunya menerusi single Bambino bersama Layla Sania.

Menariknya, lagu Bambino merupakan kolaborasi pertama Bunga dalam bahasa Mandarin.

Meskipun agak mencabar kerana perlu menyanyi rap dalam bahasa Mandarin, Bunga berjaya melakukannya dengan baik.

“Sebenarnya sejak dari tadika saya bersekolah di sekolah Cina, jadi sedikit sebanyak saya boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin.

“Cuma sudah agak berkarat kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin kerana lama tidak menggunakannya. Saya tidak mengambil masa yang lama, hafal lirik selama sehari, berlatih tiga hari dan menjalani sesi rakaman dalam sehari.

“Mulanya sukar untuk saya mengerti makna sebalik liriknya kerana penggunaan bahasa Mandarin yang mendalam, namun Layla membantu dan semuanya menjadi mudah,” ujar Bunga.

Single Bambino sudah dilancarkan dalam semua platform digital dan video muzik rasminya boleh ditonton menerusi YouTube Warner Music Malaysia Chinese sejak 17 Disember lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI