fbpx

Jenazah Osman Sapian selamat dikebumi di Taman Mount Austin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nornekman Osman menabur bunga ke atas pusara Allahyarham Datuk Osman Sapian di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini. FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Jenazah bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin di sini pukul 3.55 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Jalan Sentosa, Kampung Dato’ Onn, Larkin di sini pada pukul 2.20 petang tadi setelah bergerak dari Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi.

Ketibaan jenazah disambut ahli keluarga dan rakan-rakan sama ada rakan politik mahupun daripada kepimpinannya kerajaan negeri.

Antara yang hadir, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh; ADUN Semerah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar; ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad; ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Ar-Raudhah Kampung Dato’ Onn untuk disembahyangkan sebelum dibawa terus ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Terdahulu, Osman, 70, yang juga merupakan ADUN Kempas itu menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam semalam. Perkara tersebut disahkan abang Allahyarham, Datuk Aziz Sapian.

“Benar, baharu sebentar (semalam) tadi (meninggal dunia). Kita sedang tunggu makluman daripada keluarga di sana (Kuala Lumpur). Apa-apa urusan anak beliau akan maklum nanti,” katanya.

Dilahirkan pada 25 Dis 1951, Allahyarham meninggalkan tiga orang isteri termasuk Datin Nora Mohd. Som beserta tujuh orang anak dan seorang lagi yang masih berada dalam kandungan. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018 dan menjawat jawatan berkenaan bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI