SEBERANG PERAI – Selepas empat minggu dilahirkan, Raisya Zameena Abdul Rashid tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau gejala yang ganjil kecuali penyakit kuning.
Pihak hospital ketika itu juga memaklumkan tiada perubahan luar biasa pada tubuh si kecil tersebut sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Bagaimanapun, perubahan pada tubuh Raisya Zameena berlaku secara perlahan-lahan setelah memasuki usia hari ke-18 apabila bibirnya bertukar menjadi ungu, manakala aturan pernafasannya juga tidak normal.
Bapanya, Abdul Rashid Abd. Latif, 31, membawa bayi itu ke Hospital Baling, Kedah dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Menurut Pengerusi pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau, doktor mengesahkan Raisya Zameena mempunyai masalah kecacatan jantung apabila pembuluh darah aorta dan arteri pulmonari bertukar tempat dan keluar daripada vertical secara salah atau Transposition of Great Arteries dan aortic yang terputus.
Pembedahan perlu dilakukan dalam masa enam minggu selepas dilahirkan untuk menyelamatkan nyawa bayi itu.
Kos pembedahan adalah sebanyak RM110,000 dan keluarganya hanya mampu menyediakan kos sebanyak RM50,000.
“Pihak kami bersetuju membantu mengumpul sumbangan bagi membantu keluarga bayi tersebut ,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau aplikasi One Hope Charity ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3193433435 atas nama pertubuhan tersebut.














