PETALING JAYA – Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) menawarkan bantuan kepada ahli-ahlinya yang terjejas dalam bencana banjir bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasasnya, Datuk Ilyas Mohamed berkata, pihaknya berdukacita dan bersimpati terhadap kesemua mangsa yang terlibat dalam bencana yang melanda negara ketika ini.
“Kami sentiasa prihatin terhadap permasalahan serta musibah yang menimpa ahli-ahli KAPB.
“Justeru, atas sikap kemanusiaan dan rasa prihatin, KAPB berbesar hati terpanggil untuk menawarkan bantuan kepada ahli-ahli KAPB yang terjejas dalam bencana ini bagi meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bagi ahli-ahli yang terjejas dan menjadi mangsa bencana banjir kali ini boleh menghubungi talian 03-2711 0050 atau 03-2711 0051 atau melayari laman web http://www.kapb.com.my/. – K! ONLINE