fbpx

Semua arahan berkaitan tindakan dikeluarkan MKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

PUTRAJAYA – Semua arahan berkaitan tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi membantu mangsa banjir serta aspek pengurusan bencana akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara hari ini.

Katanya, MKN akan mengeluarkan arahan-arahan tersebut kepada semua pihak berkaitan pada kadar segera.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut,” katanya hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat turut bersetuju isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana.

“Sehingga petang ini sebanyak 41 bot, 16 lori juga aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada empat buah pam sedia ada.

“Ini bertujuan untuk mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai berhampiran.

“Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki oleh JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Kelang,” katanya.

Sementara itu, katanya, beliau juga bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai dan lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

“Kerajaan juga mengalu-alukan sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tetapi perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak.

“Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak.

“Untuk membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI