SHAH ALAM – Bagi mengelak anak-anaknya tidak dihanyut arus air, Fatima Ulama, 47, mengikat tali pada badannya serta enam orangnya bagi mengharungi banjir dari rumahnya di Jalan Ceria 25/113 ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald, Sabtu lalu.
Fatima berkata, dia membuat keputusan itu setelah anak sulungnya, Nur Mohamad Aisal, 26, yang mencadangkan supaya mereka keluar dari rumah sebelum air naik lebih tinggi.
“Paras air naik begitu pantas. Pada Sabtu petang, paras air naik sampai ke peha namun kira-kira pukul 8 malam, air naik sehingga paras dada.
“Tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, saya bersama sembilan ahli keluarga lain ambil keputusan untuk keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di PPPS SJKT Ladang Emerald, Seksyen 25, di sini hari ini.
Secara kebetulan menurutnya, terdapat seutas tali yang ada di rumahnya dan mereka mengikatnya ke badan masing-masing.
Namun anak bongsunya, Nur Aisya-Uqasya Aisal, 5 serta cucu sulungnya, Mohd. Arrash Mikhail, 3, diletakkan di atas kolam air belon.
“Kami sekeluarga berjalan kira-kira lima kilometer dari rumah hingga ke PPS sambil mengharapkan tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Setelah berjalan lebih 30 minit, kami selamat tiba di PPS kira-kira pukul 10 malam,” katanya yang sudah menetap di Taman Sri Muda lebih 20 tahun. – K! ONLINE