fbpx
NORAINI (tengah) menyampaikan trofi kepada pendebat terbaik keseluruhan, Nadratul Huda Ahmad di Putrajaya semalam. – Foto oleh AMREE AHMAD

Arena debat jadi wadah tangkis ideologi luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Penganjuran Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 akan tetap diteruskan setiap tahun bagi melahirkan mahasiswa yang memahami naratif pelbagai isu rakyat.

Malahan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, acara berprestij itu terbukti sebagai gelanggang kaedah terbaik kemahiran berucap dan memperkukuh kualiti.

“Mereka inilah nanti pewaris yang akan kita harapkan dan yakini mampu berperanan sebagai penimbal suara menepis ideologi luar tidak selari dengan norma masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Debat Diraja Antara IPT 2021 anjuran kementerian tersebut menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melakar sejarah menang berganda apabila menjuarai kategori bahasa Melayu pada hari ini selepas kategori bahasa Inggeris semalam.

Pertandingan bahas elit ala Parlimen Asia edisi ke-22 kali ini dihoskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan dianjurkan bersama oleh Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum).

Ia turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan akhbar rasmi dalam pertandingan yang melibatkan 42 pasukan itu.

Acara kali ini disertai sejumlah 23 buah IPT serta dibahagikan kepada kategori bahasa Melayu dan Inggeris dengan peringkat saringan telah diadakan secara atas talian pada minggu lepas.

Debat berkenaan sudah berlangsung sejak 1995 dengan UIAM sebagai tuan rumah edisi yang pertama namun tidak dapat dianjur tahun lalu ekoran kebimbangan isu penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, arena debat sebenarnya dapat menjadi wadah bermanfaat dalam iltizam kementerian melahirkan mahasiswa matang fikrah pemikiran dan murni siasah. – K! ONLINE

POPULAR