fbpx

KKMM agihkan bantuan RM2.18 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa bencana banjir berjumlah RM2.18 juta yang disumbangkan melalui agensi-agensi di bawah KKMM.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengagihan bantuan tersebut akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Saya juga telah meminta Kementerian untuk mengambil tindakan serta-merta menggerakkan semua aset, bantuan dan kakitangan termasuk Komuniti Keluarga Malaysia untuk membantu penduduk di kawasan terlibat banjir sejak semalam.

“KKMM telah menggerakkan sebanyak 12 buah kenderaan 4×4 dan mewujudkan pusat penempatan sementara (PPS) di agensi KKMM yang mempunyai ruang dan fasiliti bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Buat masa ini, menurut Annuar, PPS disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang yang boleh menempatkan 1,000 orang mangsa banjir.

Pada masa sama, beliau memberitahu, semua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di negeri-negeri yang terjejas banjir sedang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan pihak bomba dalam melaksanakan usaha memulihkan perkhidmatan Internet di kawasan yang terlibat.

“Selain itu, MyCreative Ventures di bawah KKMM juga menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan kerjasama Shopee Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir.

“Pihak KKMM bekerjasama erat dengan Nadma untuk penyelarasan dan pengagihan bantuan-bantuan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerjasama juga dijalinkan dengan Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur dengan bantuan sejumlah 2,000 pek makanan disediakan setiap hari dan sejumlah 50 bilik penginapan sementara untuk mangsa banjir.

“Kementerian juga telah mengenal pasti seramai 130 buah keluarga warga KKMM dan agensi menjadi mangsa banjir dan bantuan segera berbentuk makanan dan pakaian turut disalurkan kepada mereka,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI