fbpx
UJAR SYAMSUL, teguran yang hendak dibuat perlulah secara berhemah agar tidak menjatuhkan air muka pihak yang terlibat.

Bercakaran sesama pendakwah bukan akhlak Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA zaman sekarang, suasana tidak harmoni bukan sahaja dialami oleh masyarakat biasa di negara ini, malah ia turut melibatkan golongan pendakwah atau agamawan yang sering kali dilihat memperlekehkan semasa sendiri dalam media sosial.

Suasana seperti ini mewujudkan ketidakselesaan dalam kalangan orang ramai yang selama ini amat menyanjung tinggi golongan alim tersebut yang dilihat menjadi tempat rujukan mempelajari agama.

Kolum Wawancara minggu ini membawakan penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat dalam membicarakan berkaitan perkara tersebut.

Antara yang dilontarkan beliau termasuklah setiap pencemarah atau dai perlu menjaga adab dan tidak bercakaran sesama sendiri.
————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEJAK kebelakangan ini, perkara membabitkan pendakwah dan ustaz sering menghiasi dada-dada akhbar dan media sosial terutamanya berkaitan masalah moral.

Ia diburukkan lagi dengan perbalahan yang berlaku sesama masing-masing cuba menjatuhkan antara satu sama lain.

Perbalahan yang berlaku ini tidak terhad kepada pendakwah atau ustaz sahaja, malah membabit para pengikut mereka, sekali gus menjejaskan keharmonian ummah.

Situasi ini sedikit sebanyak menyebabkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap golongan agamawan terjejas teruk sehingga ada yang memandang serong kredibiliti mereka.

Bagi mengulas lebih lanjut isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berpeluang menemu bual pendakwah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Pada masa ini, ramai ustaz berbeza aliran saling ‘bercakaran’ dan memperlekeh sesama sendiri termasuk dalam media sosial. Ini telah menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat Islam. Bagaimana saudara melihat perkembangan ini?

SYAMSUL DEBAT: Pada pandangan saya, permasalah yang timbul ini merupakan salah satu cabaran kepada umat Islam akhir zaman.

Setiap ustaz mempunyai pandangan masing-masing dalam sesuatu isu dan perbezaan ini seharusnya diraikan selagi tidak bercangah dengan al-Quran dan sunnah.

Tidak sepatutnya ustaz-ustaz yang berbeza pendapat ini bergaduh sesama sendiri dalam media sosial bagi mencari siapa betul dan salah.

Jika betul-betul ikhlas untuk kesejahteraan ummah, mereka sepatutnya melakukan perbincangan secara peribadi kerana itu lebih baik.

Kadang-kadang penerangan yang diberikan dalam media sosial memerlukan penjelasan lanjut.

Misalnya, saya pernah dihubungi oleh seorang sahabat kononnya mengeluarkan kenyataan suami isteri yang bersentuhan tidak membatalkan wuduk.

Selepas tengok, rupanya ia ditulis dalam akaun palsu yang menggunakan nama saya.

MENURUT Syamsul, untuk menjadi pendakwah yang baik perlu ada ilmu, niat ikhlas dan pastikan ada kesan tindak-tanduk kita.

Golongan agamawan sepatutnya mencari jalan damai dan meraikan perbezaan selagi tidak bercanggah dengan ajaran al-Quran dan hadis. Tidakkah Rasulullah (SAW) mengajar supaya tidak melemparkan tuduhan sesama Islam, apatah lagi bagi mereka yang berilmu?

Ketika ini, percakaran ini merupakan satu krisis nasional.

Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan agamawan, malah turut melibatkan para pemimpin, kawasan kejiranan dan adik-beradik.

Saya berpendapat, permasalahan ini berlaku disebabkan krisis adab. Masyarakat kita pada hari ini gemar menegur di depan khalayak seperti media sosial sehingga menjatuhkan maruah seseorang.

Sebaiknya, teguran itu perlu dilakukan secara hikmah seperti pernah dilakukan Rasulullah.

Dalam satu kisah, ketika hendak menunaikan solat Maghrib, salah seorang sahabat nabi terkentut. Jemaah lain menunggu orang yang akan pergi mengambil wuduk, maka orang itulah yang kentut.

Sebaliknya, Rasulullah mencadangkan siapa yang ingin makan bersamanya selepas solat nanti, harus mengambil wuduk. Siapa yang tidak mahu makan bersama Nabi? Kita boleh lihat betapa hebatnya akhlak Nabi dalam menjaga aib seseorang.

Suatu ketika dahulu, suasana tidak harmoni dengan dakwaan pengamal sunnah Rasulullah dan tuduhan bidaah tidak berlaku di negara ini. Pada pandangan saudara, bilakah ia mula bertapak di Malaysia dan adakah ia akan berlarutan?

Pada saya, isu tuduhan bidaah terhadap seseorang itu mula rancak apabila penguasaan teknologi semakin berkembang dalam masyarakat.

Orang ramai sudah pandai mengedit video sehingga membuatkan mereka berlumba-lumba mengumpul pengikut dan mendapatkan kandungan yang power sehingga wujud perkara bidaah.

Sebelum ini, medium penyebaran perkara bidaah ini hanya dalam surat khabar, majalah dan televisyen sahaja.

Kini, media sosial digunakan sebagai medium penyebaran berkesan. Malah, ada perkara bidaah yang disebarkan secara meluas dalam media sosial diterima bulat-bulat oleh masyarakat.

Justeru, saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai bulat-bulat sesuatu perkara yang disebarkan dalam media sosial atau WhatsApp.
Sebaiknya, mereka harus selidik terlebih dahulu dengan bertanya mereka yang pakar dan rajin-rajinlah membaca buku ilmiah.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan cerita kurang menyenangkan mengenai dai selebriti dan penceramah agama lain sehingga mencalar imej Islam. Adakah kes seumpama itu menyebabkan kepercayaan masyarakat kepada pendakwah pudar atau sebaliknya?

Saya rasa ia merupakan salah satu ujian kepada masyarakat pada hari ini kerana semua maklumat kini pada hujung jari.

Malah, orang boleh lakukan suntingan gambar dan video bagi memburukkan seseorang.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?”

Menurut Abu al-Layth al-Samarqandi, apabila datang seseorang membawa berita buruk, ada enam perkara yang perlu dibuat. Kamu hendaklah menolaknya, mencegahnya, jangan berprasangka buruk, jangan menyelidik, membenci perbuatan itu dan mengulanginya.

Disebabkan perkara sebegini, masyarakat mula mempersoalkan kredibiliti ‘ustaz segera’. Mereka berpandangan, golongan ini hanya ingin menjadi juara dalam laman sosial? Bagaimana pandangan saudara dalam perkara ini?

Saya tidak nampak kewujudan ustaz segera, contohnya menerusi program realiti ini sebagai satu isu.

Pada dasarnya, penganjuran program pencarian tokoh Islam itu sangat baik. Isu dia adalah pembawaan diri ustaz-ustaz segera ini selepas berakhirnya program.

Pada saya, ia lebih kepada isu peribadi. Sebenarnya, ramai sahaja ustaz segera yang berjaya menjadi pendakwah dan tempat rujukan yang baik.

Kadang-kadang, mereka pun tidak mahu digelar ustaz kerana kriterianya sangat berat, tetapi orang ramai yang memanggil begitu.

Saya sendiri orang suka panggil ustaz, sedangkan lebih selesa dikenali sebagai saudara Syamsul Debat.

Pada pandangan saudara, bagaimana cara menjadi seorang pendakwah yang baik, sekali gus memberi impak positif dan menjadi teladan kepada masyarakat?

Allahyarham Ustaz Harun Din pernah sebut, jangan tunggu kaya baru hendak sedekah, sebaliknya sedekah sampai jadi kaya.

Beliau juga menyebut, jangan tunggu jadi alim baru hendak berdakwah, sebaliknya berdakwahlah sampai jadi alim.

Makna kata, kita jangan berhenti menyebarkan dakwah, malah memanjangkan ilmu itu adalah tanggungjawab kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Bagi menjadi pendakwah yang baik perlu ada ilmu, niat ikhlas dan pastikan ada kesan tindak-tanduk kita.

Saya juga selalu berpesan kepada pendakwah lain dan diri sendiri, kalau tidak tahu sesuatu isu itu janganlah pandai-pandai. Sebaliknya, rujuklah kepada mereka yang pakar.

Selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018, saudara mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam UMNO. Adakah saudara akan berubah fikiran selepas ini?

Buat masa ini, saya lebih selesa bergerak di atas platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu sebagai Presiden Debat Alumni Malaysia.

Sebenarnya dalam politik, saya masih lagi diundang dalam forum-forum perbincangan berkaitan isu semasa.

Maka, saya akan hadir dan memberikan padangan.

Untuk makluman, ketika saya melepaskan jawatan dahulu atas dasar tanggungjawab selepas kalah dalam PRU14.

Pada saya, penglibatan dalam politik ini lebih kepada ingin memperbetulkan perkara salah supaya tidak terus dilakukan.

Itu sebab, ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO suatu ketika dahulu, saya banyak memberi teguran biarpun tidak mempunyai jawatan dalam parti.

URUSAN dakwah perlu dilakukan dengan berhemah agar dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat.– GAMBAR HIASAN

Dalam bab menguruskan rumah tangga, ramai kurang faham akan tanggungjawab bagi menjamin kerukunan mahligai yang dibina. Apakah rahsia bagi menjamin kebahagian rumah tangga?

Pertama kali, semua tahu apa yang dimaksudkan dengan institusi keluarga terlebih dahulu. Institusi di sini bermaksud struktur atau mekanisme kerjasama antara ahli organisasi.

Maknanya di sini, setiap ahli dalam institusi keluarga iaitu suami, isteri dan anak perlu memainkan peranan masing-masing. Misalnya, suami mencari duit, isteri menguruskan rumah dan anak-anak perlu belajar bersungguh-sungguh.

Kalau salah satu ahli organisasi tidak berfungsi, ia akan mendatangkan masalah.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kita lihat banyak rumah tangga runtuh disebabkan ahli gagal memainkan fungsi masing-masing.

Contohnya, suami tidak membantu langsung isteri menguruskan rumah tangga meskipun tidak bekerja. Manakala, isteri pula sibuk minta duit untuk beli barang online ketika PKP.

Sebagai peminat bola sepak tempatan dan luar negara terutamanya Liga Perdana Inggeris, apa pandangan saudara jika seseorang suka troll pasukan lain?

Mengulas mengenai video troll saya terhadap pasukan Manchester United (MU) selepas kalah dengan Liverpool 5-0, sebenarnya ia dibuat untuk suka-suka sahaja.

Untuk makluman semua, individu yang bagi idea dan menyunting video itu sebenarnya penyokong tegar MU.

Mungkin dia pun marahkan pasukan MU sebab kalah dengan Liverpool.

Di sini, saya ingin membuat pengakuan ikhlas bahawa saya dan ahli keluarga merupakan penyokong tegar Liverpool sejak zaman Ian Rush lagi. Saya masih ingat lagi, saya bersama arwah bapa menonton final Piala FA pada pukul 3 pagi. You Will Never Walk Alone.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN