PETALING JAYA – Seorang lelaki berhadapan detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya dihempap pokok tumbang bersama 15 kenderaan lain dan terperangkap dalam hujan lebat di tepi Jalan Tanjung, Bandar Sri Damansara di sini tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian sebaik Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Petaling Jaya menerima panggilan dari orang awam pada 12.51 tengah hari tadi.
“Siasatan awal pihak polis di lokasi, mendapati ada seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun telah terperangkap di dalam sebuah jenis kereta kerana mangsa sedang memandu melalui jalan tersebut dalam keadaan hujan lebat.
“Mangsa telah selamat dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semua kenderaan yang terlibat dalam kejadian diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE