fbpx

Perbezaan pegangan politik wajar jadi wadah penyatuan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar Ismail Sabri ketika berucap merasmikan Kongres Perpaduan Negara yang diadakan secara maya hari ini.

PUTRAJAYA – Perbezaan pegangan politik dilihat sebagai salah satu punca yang kadangkala membawa kepada perpecahan sedangkan ia sewajarnya menjadi wadah menuju penyatuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kepentingan peribadi dan perbezaan pegangan politik akhirnya akan menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja para pemimpin tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Perpaduan Negara 2021 secara maya anjuran bersama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) juga Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) serta Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Kongres Perpaduan Negara yang dijalankan secara webinar selama dua hari itu disertai lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

Ismail Sabri berkata, gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

“Setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

“Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan,” ujar beliau.

Tambah beliau, penganjuran kongres berkenaan diharap mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di Malaysia.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI