fbpx

LHDN hanya boleh akses akaun bank dengan kebenaran mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menjelaskan tindakan mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai hanya akan dilakukan bagi kes yang melibatkan perintah garnisi atas kebenaran mahkamah.

LHDN melalui satu kenyataan berkata, tindakan itu dilakukan berdasarkan peruntukan baharu S106A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang Kewangan 2021 pada 15 Disember lalu.

“Tiada kuasa mutlak kepada LHDN untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenang.

“Ia perlu melalui proses penghakiman yang ditetapkan dan hanya terhad kepada kes-kes yang telah pun melalui prosiding sivil terlebih dahulu,” katanya hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan merujuk kepada beberapa laporan akhbar berkaitan kuasa LHDN mengakses akaun bank pembayar cukai tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran pemilik akaun terbabit.

Tambah kenyataan itu lagi, prosiding garnisi merupakan proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak.

“Dalam kes ini LHDN, susulan adanya tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai.

“Dengan pengenalan peruntukan baharu ini, ia akan membantu LHDN mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif dengan meminimumkan ketirisan cukai disebabkan kegagalan pembayar cukai melangsaikan hutang cukai,” jelasnya.

Justeru ujar LHDN, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pindaan baharu ACP 1967 kerana ia hanya memberi kuasa mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai setelah tindakan garnisi dibenarkan oleh mahkamah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI