fbpx

Puteri Amalia dikritik adakan parti lahir ketika Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Amalia menyambut ulang tahun kelahirannya ke-18 di sebuah taman berhampiran istana Sabtu lalu. - RVD/Frank Ruiter

AMSTERDAM, BELANDA – Kerabat diraja Belanda dikritik kerana mengadakan parti hari lahir ke-18 Puteri Amalia pada hujung minggu lalu yang jelas melanggar peraturan Covid-19 ditetapkan oleh kerajaan, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Puteri Amalia atau nama sebenarnya Catharina-Amalia Beatrix Carmen Victoria adalah anak  sulung ketua negara Belanda iaitu  Raja Willem-Alexander dan isteri, Permaisuri Maxima. Beliau merupakan pewaris takhta diraja Belanda.

Menurut sepucuk surat yang dihantar oleh Perdana Menteri, Mark Rutte kepada Parlimen, keluarga diraja Belanda telah mengadakan parti  dihadiri oleh 21 tetamu jemputan itu di sebuah taman berhampiran istana Sabtu lalu.

Tindakan itu melanggar peraturan Covid-19  yang menetapkan bahawa penduduk Belanda tidak dibenarkan menerima lebih daripada empat tetamu berusia lebih 13 tahun di rumah mereka dalam masa sehari.

“Taman tersebut adalah sebahagian daripada kediaman persendirian keluarga diraja,” kata seorang jurucakap kerajaan.

Berdasarkan surat Rutte, semua tetamu telah diarah untuk menjalani ujian saringan Covid-19, menerima vaksinasi lengkap dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Raja Willem-Alexander menjelaskan bahawa penganjuran acara tersebut adalah sesuatu yang ‘tidak betul’ untuk dilakukan. Saya berfikir itu merupakan respons yang wajar.

“Sambutan hari lahir tersebut telah pun dibatalkan pada awalnya disebabkan situasi Covid-19, namun majlis pada Sabtu lalu diadakan pada saat-saat akhir,” kata Rutte.

Dalam pada itu, salah seorang pemimpin tempatan, Eva van Esch berkata, peraturan yang dilaksanakan sepatutnya perlu dipatuhi oleh setiap orang.

“Setiap orang di Belanda perlu menunjukkan contoh yang baik dengan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan, malangnya ia tidak berlaku di negara ini.

“Saya memahami bahawa menyambut ulang tahun kelahiran ke-18 adalah sesuatu yang penting, namun terdapat ramai lagi remaja berumur 18 tahun yang tidak dapat mengadakan sebarang acara,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN