fbpx

Belia luar bandar digalak sertai Askar Wataniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada tetamu yang hadir merasai pengalaman menggunakan raifal M4 pada Program Menembak Bersama Agensi Kerajaan dan Media anjuran Rej 503 AW di Ipoh semalam.

IPOH – Jawatankuasa Penduduk Askar Wataniah (Jakpaw) negeri Perak akan menggandakan usaha bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai masyarakat di luar bandar ke dalam pasukan sukarelawan itu.

Ahli Jakpaw negeri Perak, Mejar (Kehormat) Zairi Osman berkata, ini kerana penglibatan mereka khususnya golongan muda penting selain dapat menimba banyak pengetahuan baharu.

Menurutnya, fungsi Jakpaw adalah sama-sama membantu Rejimen Askar Wataniah (AW) Tentera Darat khasnya dan Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP) secara amnya.

“Askar Wataniah merupakan satu platform bagi masyarakat umum tanpa mengira latar belakang dan kaum untuk berbakti kepada negara sebagai pasukan simpanan.

“Saya menyeru anak-anak muda negeri Perak supaya menceburi Askar Wataniah kerana mereka bukan hanya mendapat latihan ketenteraan, malah mendapat rezeki untuk menampung kehidupan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Program Menembak Bersama Agensi Kerajaan dan Media di Lapangsasar Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja di Kem Syed Putra di sini semalam.

Program berkenaan dianjurkan oleh Rejimen 503 AW bertujuan mendekatkan pasukan itu dengan agensi-agensi kerajaan termasuk media selain mengeratkan hubungan sedia ada.

Turut hadir ialah Komander Rej 503 AW, Kolonel Syed Nasir Sayed Mahadi.

Ziairi yang juga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Tinggi Komuniti RTC Gopeng memberitahu, golongan muda dan penuntut juga mendapat manfaat dari segi elaun yang boleh menjadi pendapatan sokongan untuk pembelajaran

“Sesiapa sahaja boleh menyertai Askar Wataniah termasuk mereka yang tidak bekerja.

“Semasa pandemik Askar Wataniah turut memainkan peranan mereka sebagai petugas barisan hadapan apabila khidmat mereka diperlukan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Syed Nasir berkata, program sedemikian kerap diadakan pihaknya untuk memberi pendedahan kepada tetamu tentang Askar Wataniah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI