KLANG – Perbuatan jahat seorang lelaki dikenali ‘Ah Ton Exora’ yang ligat melakukan 10 kes pecah rumah secara bersendirian akhirnya kecundang selepas dicekup polis di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Penahanan suspek berusia 30an itu dilakukan pada 6 Disember lalu selain turut merampas beberapa peralatan pecah rumah, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM12,200.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan dilakukan pihaknya susulan kes pecah rumah melibatkan seorang pekerja kilang di Bandar Putera di sini, pada 3 Disember lalu.
Katanya, dalam kejadian pukul 5.50 petang, mangsa memaklumkan kecurian beberapa barang kemas dan wang tunai RM1,000 selain kesan pintu dipecahkan.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati modus operandi suspek hanya akan beroperasi waktu siang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Suspek akan menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni susulan mangsa yang keluar atau sedang bekerja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut menahan tiga suspek lain termasuk pasangan suami isteri disyaki pembeli barangan hasil curi dilakukan Ah Ton itu.
Ujarnya, semakan mendapati Ah Ton memiliki sebanyak 14 rekod jenayah lampau.
“Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di kawasan Klang Selatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -K!ONLINE