MELAKA – Pulau Nangka bukan sahaja terkenal dengan misteri harta karun peninggalan Kesultanan Melayu Melaka, malah dikesan dijadikan transit oleh sindiket pengedaran dadah sebelum diseludup ke negara ini dan Indonesia.
Pulau itu merupakan antara 13 lokasi di lautan termasuk Pulau Upeh yang dipercayai dijadikan sarang atau tempat persinggahan sebelum dadah-dadah diseludup masuk selepas dipunggah individu tertentu dengan upah antara RM10,000 hingga RM20,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, Pulau Upeh dan Nangka dipilih kerana kedudukan geografinya berdekatan dengan pantai Klebang yang hanya mengambil masa perjalanan selama 30 minit untuk sampai ke daratan.
Katanya, untuk penyeludupan ke Indonesia pula, sindiket memilih Pulau Rupat.
“Mereka akan singgah di situ sebelum memunggah dadah sama ada dari negara ini atau Indonesia. Selalunya mereka akan tunggu ‘lampu hijau’ daripada transporter.
“Sindiket menggunakan bot pancung berkelajuan tinggi kerana mudah untuk menyelinap dan meloloskan diri apabila melalui laluan sempit termasuk di bawah jambatan serta merentas air cetek,” katanya kepada Kosmo!.

Anggota JSJN memeriksa bot pancung dinaiki nelayan bagi mengesan sebarang barangan seludup di perairan Melaka baru-baru ini.
Tambahnya, sindiket aktif pada lewat petang sehingga awal pagi. Sebuah bot pancung lazimnya dikendali satu atau dua orang dan barangan disorok di ruang simpanan bot yang diubah suai.
Menurut Zulkiflee, berdasarkan risikan yang dijalankan, pihaknya berjaya menumpaskan tujuh sindiket besar dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM16 juta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Sindiket itu didalangi suspek dari negara jiran dengan upah diterima sebagai pemunggah antara RM10,000 hingga RM20,000,” katanya.
Ujar Zulkiflee, antara sindiket ditumpaskan adalah Passat, Passat 2, Toyota, Hafiz Padang Temu, Misai dan Abang 888 yang membabitkan tangkapan seramai 40 suspek berusia 20 hingga 60-an.
Jelasnya, JSJN dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) kerap melakukan pemantauan dan rondaan di persisir pantai serta laut di Zon C iaitu pada jarak 52 kilometer bermula dari Tanjung Kling sehingga ke Sungai Rambai.
“Kawasan rondaan dibahagikan kepada tiga iaitu Sektor A sejauh 49 kilometer dikawal Maritim Malaysia, Sektor B dikawal Tentera Laut Diraja Malaysia sepanjang 21 kilometer dan Sektor C oleh PPM,” katanya.
Zulkiflee berkata, polis sentiasa memantau dan komited untuk menjejaki sendikit pengedaran dadah rentas negara ini dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk nelayan.
“Kita juga merekrut nelayan, ‘boat man’ dan penduduk di persisiran pantai bagi menjadi mata dan telinga untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti haram,” katanya.















