fbpx

Syarikat ingkar SOP boleh dikompaun RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – Kompaun sehingga RM1 juta boleh dikenakan kepada syarikat, pertubuhan malah agensi-agensi kerajaan yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menegaskan kompaun tersebut boleh dikenakan melalui pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat Khamis ini.

“Maksimum kompaun yang boleh dikenakan kepada mana-mana pertubuhan, syarikat malah agensi kerajaan yang ingkar SOP adalah RM1 juta di bawah akta yang akan dipinda itu namun kita ada garis panduannya dan tidaklah gila kuasa untuk kompaun semua dengan kadar begitu.

“Kita lihat kepada kes-kes tertentu dan pengenaannya adalah lebih kepada kesalahan berulang dalam kalangan syarikat besar contohnya di sektor pengilangan yang sentiasa menjadi kluster termasuk mereka yang mengaut untung berbilion ringgit setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian program Bicara Naratif Khas: Menilai Ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Jelas Khairy Jamaluddin, pengenaan kadar kompaun yang tinggi itu adalah lebih kepada tindakan pencegahan yang akan membuatkan mereka berfikir sekali gus akur pada undang-undang yang ditetapkan.

“Jika syarikat yang mampu mengaut keuntungan berbilion ringgit tahunan dikenakan kompaun RM50, itu bagi mereka tiada apa-apa dan ia tidak akan menjadi sesuatu yang boleh mencegah, atau mengubah tingkah laku mereka namun jika RM1 juta, barulah mereka akan berfikir.

“Bagi individu, kita akan kekalkan seperti di dalam ordinan darurat iaitu RM10,000 maksimum dengan garis panduan ketat dan kita tidak mahulah penjaja atau perniagaan kecil dikenakan kompaun RM10,000 jadi untuk kesalahan pertama mungkin RM1,000 dan meningkat jika ada pengulangan,” katanya.

Kata beliau, pindaan tersebut juga amat penting dari segi penguatkuasaan kerana ia akan membabitkan penurunan kuasa yang akan membenarkan tindakan pengeluaran kompaun dibuat oleh pihak berkuasa tempatan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI