BEAUFORT – Polis menahan seorang lelaki selepas mengamuk menggunakan sebatang besi dalam kejadian di rumahnya di Kampung Gerowot, Kuala Penyu di sini kelmarin.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian suspek berusia 41 tahun yang mengamuk itu daripada anaknya pada pukul 12.45 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Penyu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki mengamuk menggunakan sebatang besi di halaman rumahnya.
“Polis menahan suspek dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan mendapati suspek tidak dapat mengawal diri ekoran dipercayai di bawah pengaruh dadah,” katanya.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE