fbpx

Izzul Amin cuba nasib di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZUL AMIN

BIARPUN sudah mempunyai pekerjaan tetap yang bagus iaitu sebagai konstabel polis, namun minat mendalam terhadap bidang nyanyian tidak pernah luput dalam dirinya.

Seorang bakat muda berasal dari negara jiran, Brunei mencuba nasib dengan meluaskan bakatnya ke negara ini dengan memperkenalkan diri sebagai Izzul Amin.

Pemilik nama lengkap Pangeran Md. Izzul Amin itu sebenarnya seorang penyanyi yang banyak menyanyikan lagu pelbagai genre seperti rock, slow rock, pop rock dan balada.

Dia yang bertugas sebagai konstabel polis di Jabatan Marin Brunei mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian sejak kecil dan banyak menyertai pertandingan dan program hiburan, majoritinya melalui Radio Televisyen Brunei.

Selepas menempatkan nama di negara kelahiran sendiri, pemuda itu memulakan langkah baharu dengan melebarkan bakat di Malaysia dengan mempertaruhkan single miliknya, Bangkit berbekalkan bantuan daripada penyanyi Amir Jahari.

Amir mempunyai syarikat penerbitan sendiri iaitu Sekalo Music Production dan bernaung bawah Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Amir menyatakan single ini bagus. Dia sarankan supaya lagu ini dikembangkan ke Malaysia. Dia juga yang mengesyorkan kepada saya untuk hantar single Bangkit ke syarikat Luncai Emas.

“Kemudian saya menerima perkembangan yang positif daripada Luncai yang berminat dengan single ini,” kata Izzul.

Perjalanan sendiri

Menceritakan lanjut tentang lagu yang dirakamkan di EE Studio, Brunei tersebut, Izzul menjelaskan, Bangkit menyingkap kisah perjalanan dan perjuangan hidupnya sendiri.

Lagu yang dicipta oleh Ezuone berkenaan mengisahkan tentang perjalanan seorang anak seni yang berkali-kali terjatuh tetapi tetap gigih ingin mencapai impian dan kejayaan.

“Lagu ini juga memberi motivasi kepada semua orang di luar sana supaya jangan mengalah dalam setiap yang kita perjuangkan. Tetaplah berpegang kepada-Nya kerana rezeki itu sudah diatur Tuhan dengan cantik,” katanya lagi.

Sementara itu tambah Izzul, lagu berkenaan sebenarnya sudah dirakamkan hampir setahun, namun baru berkesempatan dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai lalu.

Sekadar info untuk profil seninya, Izzul setakat ini pernah menyertai tiga pertandingan nyanyian yang berlangsung di Brunei iaitu Anugerah Pelangi 8, Express E-hits 2 dan Best 914.

Lagu Bangkit tercalon untuk mengikuti pertandingan Express E-hits 2 selain memasuki senarai 10 Terbaik bagi lagu inspirasi pilihan pada Anugerah Pelangi.

“Saya sangat teruja kerana dapat bernaung bawah Luncai Emas. Syukur yang tidak terhingga dan amat berterima kasih kepada seluruh pasukan kerja kerana peluang sebegini sangat susah untuk diperolehi.

“Kalau di Luncai Emas, tidak lain dan bukan sudah tentu ada legenda Datuk M. Nasir. Semua orang tahu dan meminati beliau serta karya-karyanya. Saya juga berharap suatu hari nanti dapat bekerjasama dengan beliau,” luah Izzul.

Merangka perjalanan seninya pada masa hadapan, lelaki itu berkata, dia turut memasang impian untuk berduet dengan isteri sendiri iaitu Nurul Hazimah Hamdan selain artis-artis Brunei seperti Leehin Titanz dan Alilah.

Jika di negara ini pula, bakat muda itu sangat meminati Akim & The Majistret dan Iklim.

Lagu Bangkit yang merupakan single kedua nyanyian Izzul kini mencuri ruang menembusi pasaran lokal.

Luncai Emas bertindak selaku pengedar single tersebut yang sudah tersedia melalui laman penstriman seperti iTunes termasuk YouTube sejak 12 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI