MOSCOW – Lelaki kedua terkaya di Rusia, Vladimir Potanin berdepan kes tuntutan harta sepencarian antara termahal di dunia selepas bekas isterinya menyamannya sebanyak AS$7 bilion (RM29.5 bilion), lapor rangkaian televisyen RT kelmarin.
Menurut laporan stesen penyiaran Bloomberg, Potanin berdepan kes mahkamah baharu apabila bekas isterinya, Natalia Potanina memfailkan saman tersebut di sebuah mahkamah Britain.
Mahkamah di Britain pada kebiasaannya membahagikan secara 50/50 berhubung kes sedemikian.
Menurut Forbes, nilai kekayaan Potanin adalah sekitar AS$30 bilion (RM126.5 bilion) dengan sebahagian besarnya menerusi saham di sebuah syarikat perlombongan Rusia, Norilsk Nickel.
Bagaimanapun, sekiranya beliau tewas dalam perbicaraan tersebut, Potanin bakal ‘hilang’ lebih AS$7 bilion.
Sekiranya dipersetujui oleh hakim, Potanina berpeluang mendapatkan wang tuntutan perceraian ketiga terbesar dalam sejarah, selepas perceraian pengasas Amazon, Jeff Bezos dan pengasas Microsoft, Bill Gates.
Pada 2019, Bezos diarahkan membayar bekas isterinya, MacKenzie Scott sebanyak AS$38 bilion (RM160 bilion) bagi nilai saham dalam syarikatnya, sekali gus menjadikan Scott antara wanita terkaya di dunia.
Sementara itu, awal tahun ini, Gates dan bekas isterinya, Melinda French Gates pula membahagikan harta berjumlah lebih AS$131 bilion (RM552 bilion) selepas mereka bercerai. – AGENSI