KUALA LANGAT – Polis akan menyambung rakaman keterangan bekas isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin yang mendakwa dipukul individu terbabit sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, keterangan itu diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
Katanya, prosedur merakam percakapan wanita yang berada di Kelantan itu berdasarkan arahan perundangan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Kita mengikuti arahan pihak perundangan supaya mengambil keterangan lanjut saksi kes berkenaan.
“Rakaman percakapan bekas isteri ADUN itu akan disambung bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Ridhwan, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Hasnul memukul bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah, 38.
Oktober lalu, Juliani membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Langat mengenai kejadian itu yang didakwa berlaku pada 21 Ogos, ketika mereka masih pasangan suami isteri.
Hasnul yang merupakan ADUN daripada Parti Amanah dan Timbalan Speaker DUN Selangor bagaimanapun mendakwa laporan itu dibuat dengan ‘niat jahat’ selepas perceraian mereka. -K!ONLINE






