fbpx

Kekayaan bilionair dunia melonjak sejak pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elon Musk merupakan individu terkaya di dunia. - AFP

PARIS – Satu laporan utama mendapati bahawa kekayaan yang dimiliki oleh individu-individu terkaya dunia telah melonjak sepanjang tempoh pandemik Covid-19, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

Laporan Ketidaksamarataan Dunia itu mendedahkan bahawa dalam masa sama, sebanyak 100 juta orang dihimpit dengan krisis kemiskinan tegar.

Dikeluarkan oleh Makmal Ketidaksamarataan Dunia yang berpangkalan di Paris, laporan itu menyebut bahawa 10 peratus individu terkaya dunia kini menyumbang sebanyak 52 peratus daripada pendapatan global.

Menurut penulis laporan merangkap pakar ekonomi, Thomas Piketty, kekayaan para bilionair telah meningkat daripada satu peratus kepada tiga peratus sejak 1995.

“Peningkatan ini semakin ketara semasa pandemik Covid-19, bahkan tahun 2020 mencatatkan peningkatan paling tinggi bagi perkongsian kekayaan bilionair global,’’ katanya dalam laporan tersebut.

Sementara itu, Pengarah bersama Makmal Ketidaksamarataan Dunia, Lucas Chancel berkata, selepas lebih 18 bulan Covid-19 melanda, jurang ekonomi penduduk dunia menjadi lebih besar.

“Walaupun kekayaan jutawan global meningkat lebih €3.6 trilion (RM 17.165 trilion), lebih 100 juta orang tergolong dalam golongan miskin tegar,’’ katanya.

Dalam pada itu, penyelidik turut mendapati bahawa 52 individu terkaya di dunia mencatatkan peningkatan dalam nilai kekayaan sebanyak 9.2 peratus setahun selama 25 tahun yang lalu, jauh melebihi kumpulan sosial yang kurang kaya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI