fbpx

Nestle cadang tanam tiga juta pokok di Semenanjung Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aranols (kanan) menanam anak pokok bakau di Taman Alam, Kuala Selangor.

PETALING JAYA – Nestlé Malaysia bercadang untuk menanam tiga juta  pokok  di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2023 melalui projek  RELeaf yang telah dilancarkan  pada  September tahun lalu.

 Projek RELeaf adalah aktiviti susulan daripada Projek Kinabatangan Rileaf, program perintis yang telah menanam sejumlah sejuta batang pokok di Sabah, yang berjaya disempurnakan pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang telah mengehadkan capaian Kumpulan di kawasan penanaman dan turut melambatkan pelaksanaan Projek RELeaf.

“Walaupun, kami telah menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya,  tapak-tapak semaian rakan kerjasama kami sudah mempunyai hampir satu juta anak benih dan anak pokok pelbagai spesies asli, yang sedang tumbuh dengan subur dan sihat. 

“Oleh itu, menjelang akhir tahun ini, kira-kira 300,000 daripadanya akan dipindahkan ke kawasaan penanaman akhir. Selepas PKP tamat, kami telah menggandakan usaha dan pasukan-pasukan kami sedang menggiatkan lagi aktiviti penanaman,” katanya dalam kenyataan.

Aranols menerangkan, Nestle sedang menggiatkan dan meluaskan program tersebut melalui  kerjasamanya dengan kerajaan negeri dan agensi lain bersama  sumber yang tersedia untuk menanam 1.3 juta batang pokok pada 2022, diikuti oleh 1.4 juta batang pokok pada 2023.

“Kami benar-benar komited untuk mencapai sasaran emisi karbon sifar bersih menjelang 2050, dengan matlamat pengurangan emisi sebanyak 50 peratus  menjelang 2030.

“ Inisiatif penanaman semula hutan ini akan disokong oleh pelaksanaan amalan pertanian regeneratif di ladang-ladang cili, kopi dan juga sawah padi yang mana  kami turut terlibat,” ujarnya.

Selain itu, bersempena ulang tahun pertama Projek RELeaf, Nestlé Malaysia telah bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan, Impact Revolution Enterprise untuk menjayakan aktiviti penanaman pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor. 

Ia bertujuan untuk memulihkan ekosistem bakau berharga di kawasan tersebut dan lebih daripada 100 sukarelawan Nestlé telah menanam lebih daripada 500 batang anak pokok bakau minyak (Rhizophora Apiculata) di kawasan hutan bakau tersebut.

Aktiviti penanaman semula pokok bakau adalah sebuah program di bawah Nestlé Cares, sebuah platform global Nestlé, yang bertujuan untuk menyemai budaya sukarelawan dalam kalangan kakitangan.

 Di samping itu, sukarelawan Nestle Cares juga telah melibatkan diri dalam inisiatif lain seperti aktiviti penanaman bakau berhampiran Kampung Sijangkang pada awal tahun ini, dan program pembersihan pantai dan dasar laut tahunan syarikat di beberapa lokasi di Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI