fbpx

Kerajaan garis dua fokus utama pembangunan PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Dua fokus utama digariskan kerajaan sebagai pemangkin pemulihan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk bergerak semula setelah terjejas kesan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus pertama adalah PMKS harus memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

Menerusi fokus pertama ini kata beliau, pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik boleh dilakukan.

“Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Kita dapat melihat bahawa kehadiran PMKS di atas talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-Covid) kepada 75.8 peratus pada tahun 2021 (pasca Covid),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX’21) bertemakan “PMKS: Bangkit Kembali” di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, fokus kedua pula merangkumi pembangunan jangka panjang PMKS yang harus menerapkan prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (Enviroment, Social and Governance – ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka.

Tambah beliau, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran (circular economy), amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

“Saya difahamkan SME Corp. Malaysia serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs atau singkatannya ACCESS.

“Platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Sustainable Development Goals (SDG) serta ESG,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI