fbpx
Cristiano Ronaldo diberi kepercayaan untuk mengetuai jentera serangan United pada aksi pertama kendalian Ralf Rangnick sebentar tadi. - Foto ihsan Facebook Man. United.

The Red Devils teruskan momentum kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER – Pasukan Manchester United meneruskan momentum cemerlang dibawah kendalian pengendali baharu, Ralf Rangnick dengan menewaskan Crystal Palace 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, Rangnick masih mengekalkan kesebelasan utama yang sama ketika The Red Devils menundukkan Arsenal 3-2 pada awal pagi Jumaat lepas dengan jentera serangan diketuai Cristiano Ronaldo.

Palace yang dikendalikan oleh Patrick Vieira turut membariskan kesebelasan terbaik dengan barisan serangan dibarisi trio berbisa, Wilfred Zaha, Christian Benteke dan Connor Gallagher.

United terlebih dahulu mendapat peluang awal menerusi sepakan percuma Ronaldo pada awal saingan tetapi rembatannya sedikit tersasar.

Malah, pemain tengah United, Bruno Fernandes turut memiliki peluang untuk memecah kebuntuan tetapi sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Vicente Guita.

Palace turut berusaha untuk mencari gol tetapi ketumpulan jentera serangan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, United dan Palace saling mengasak antara satu sama lain dengan memiliki beberapa peluang untuk meledak gol.

Namun, tuah lebih memihak kepada pasukan tuan rumah selepas pemain tengah, Fred menjaringkan gol cantik hasil rembatan luar kotak penalti pada minit ke-77.

Tersentak dengan gol tersebut, Palace memperkemaskan jentera serangan tetapi usaha mencari gol penyamaan berakhir sia-sia apabila benteng pertahanan yang diketuai penjaga gol, David De Gea bijak mengekang setiap asakan yang dilakukan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan United mengutip 24 mata selepas mengharungi 15 perlawanan. – K! ONLINE

POPULAR