fbpx

JPJ hanya pastikan tiada kesesakan ketika konvoi Mustang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video konvoi Mustang yang dipersoalan netizen di Perlis baru-baru ini.

KANGAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan kehadiran kenderaan milik jabatan itu semasa konvoi Kelab Mustang Malaysia ke Perlis pada Jumaat lalu hanyalah untuk memastikan kelancaran aliran trafik.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihak penganjur meminta jabatan itu membantu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesesakan jalan raya yang menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna lain.

“Semasa kembara itu memasuki Perlis, JPJ bertindak memecahkan konvoi kepada beberapa kumpulan kecil terdiri daripada 10 hingga 12 buah kenderaan.

“Setiap kumpulan kecil itu bergerak dengan dipandu arah oleh kenderaan JPJ sebagai ‘lead car’ ke destinasi dituju bagi memastikan mereka tidak tersasar dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Pergerakan kembara tersebut tidak menggunakan laluan sesak dan pemilihan jalan raya yang lebih jauh serta tidak sibuk dengan kenderaan lain dipilih bagi memastikan keselesaan kepada pengguna lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Katanya, tiada kawalan protokol dilakukan dan pergerakan kumpulan kecil kembara itu perlu patuh kepada peraturan jalan raya seperti pengguna lain termasuk berhenti ketika lampu merah serta bergerak hanya pada kelajuan 60 kilometer sejam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas komen netizen yang mempersoalkan tindakan JPJ melakukan ‘escort’ atau kawalan protokol ke atas peserta konvoi Kelab Mustang Malaysia.

Difahamkan lebih 50 kenderaan dari seluruh negara menyertai program kembara yang diadakan selama tiga hari di beberapa lokasi sekitar negeri Perlis.

“Selain itu, pihak JPJ turut melakukan advokasi kepada peserta mengenai kesalahan-kesalahan lain seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, penggunaan cermin gelap serta lain-lain pengubahsuaian.

“Semua maklumat peserta kembara itu telah diambil pihak JPJ semasa program advokasi diadakan dan pemeriksaan rambang mendapati ada dalam kalangan peserta mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap” jelasnya.

Difahamkan, penggunaan cermin gelap sepenuhnya ke atas sesebuah kenderaan dibenarkan atas beberapa faktor seperti keselamatan, kesihatan dan lain-lain.

Menurut Fatimah, baru-baru ini, pihaknya turut melakukan advokasi sama terhadap kumpulan kembara bermotosikal anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Fatimah turut menyarankan agar semua pihak yang ingin melakukan aktiviti kembara atau konvoi mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sebelum ia program itu berlangsung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI