fbpx
CHENG HOE (depan tiga dari kiri) bersama skuad Harimau Malaya berlepas ke Singapura dari KLIA, Sepang kelmarin.

Cheng Hoe satu-satunya anak tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STATUS sebagai satu-satunya jurulatih tempatan yang diberi kepercayaan pada saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura kali ini tidak memberi tekanan buat Tan Cheng Hoe mencatur strategi terbaik bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Sebagai rekod, Cheng Hoe mencipta keunikan tersendiri apabila masih kekal diberi kepercayaan mengemudi skuad Harimau Malaya sebagai ‘anak tempatan’ meskipun negara-negara pesaing memilih untuk memberi jawatan tersebut kepada pengendali import.

Sementara itu, negara-negara lain seperti Vietnam kekal de­ngan sentuhan Korea Selatan menerusi Park Hang-seo, Indonesia (Shin Tae-yong/Korea Selatan), Kemboja (Ryu Hirose/Jepun), Laos (V. Selvaraj/Singapura), Si­ngapura (Tatsumi Yoshida/Jepun), Filipina (Scott Cooper/England), Myanmar (Antoine Hey/Jerman) dan Thailand (Alexandre Polking/Brazil).

Kata Cheng Hoe, situasi itu diakui memberi penghormatan buatnya secara peribadi, tetapi pada masa sama turut membuka ruang untuk menguji tahap taktikal menentang pengendali import negara luar.

“Saya akui sangat berbangga apabila menjadi satu-satunya anak tempatan yang diberi peluang untuk mengendalikan skuad kebangsaan dan sudah tentu mahu membuat rakyat Malaysia berbangga dengan pasukan pada kempen Piala AFF Suzuki kali ini.

“Secara jujur, ia bukan tugas mudah kerana pengendali negara luar turut memiliki kelebihan tersendiri.

“Berdasarkan ramalan awal, Thailand atau Vietnam diletakkan antara pilihan utama kejohanan,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.

Cheng Hoe turut mengesahkan persiapan pasukan kini hampir lengkap sepenuhnya dengan kehadiran tiga pemain berpangkalan di luar negara, Junior Eldstal, Dominic Tan dan Luqman Hakim Shamsudin sudah me­lapor diri bersama skuad negara.

“Kami baru sahaja tiba semalam (kelmarin) dengan pasukan.

“Kami kini sudah hampir lengkap dengan kehadiran tiga pemain dari luar negara untuk menyertai kem latihan sebelum aksi pembukaan menentang Kemboja pada Isnin depan,” kata Cheng Hoe.

Kini, hanya seorang lagi pemain dari luar negara iaitu Dion Cools yang mewakili kelab Denmark, FC Midtjylland dijangka bersama pasukan pada 15 Disember depan.

Skuad negara yang memburu kejuaraan pertama sejak edisi 2010 dijadualkan bertemu Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Binshan, ­Singapura esok.

POPULAR