KUALA NERUS – Seorang buruh binaan, Azmi Ngah, 48, bagaikan sudah lali berhadapan dengan banjir yang menjejaskan rumahnya di Kampung Alor Damat, Wakaf Tengah di sini sejak 40 tahun lalu.
Katanya, saban tahun pada musim tengkujuh, dia sekeluarga sudah pasti akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Banjir yang melanda Kampung Alur Damat pada setiap tengkujuh sudah berlarutan sejak tahun 1981 lagi.
“Masa itu saya dan adik-beradik lain kecil lagi selain arwah kedua-dua ibu bapa kami pun masih ada. Kini, saya sudah beranak-pinak dan perkampungan ini masih banjir lagi setiap tahun,” katanya.
Terdahulu, Azmi ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot di sini semalam. Selain Kuala Nerus, daerah Setiu turut dinaiki air akibat hujan lebat dan air pasang.
Azmi berkata, oleh kerana sudah terbiasa, dia dengan bantuan isteri, Zainun Awang, 40, telah membuat persiapan awal bagi menghadapi banjir.
Tambah bapa kepada dua anak itu, selain menyimpan dokumen penting di tempat tinggi, mereka juga memastikan keselamatan tiga lembu ternakan, burung dan 10 ekor kucing peliharaan.
“Seingat saya, banjir yang melanda semalam (kelmarin) paling buruk sehingga hampir menenggelamkan motosikal saya.
“Apa pun saya berharap banjir tahun ini tidaklah seburuk tahun lalu sehingga kami penduduk kampung berpindah masuk ke PPS sebanyak tiga kali,” katanya.
Azmi mengakui kawasan Kampung Alor Damat yang rendah menyebabkannya mudah dilanda banjir pada setiap musim tengkujuh.
Sementara itu, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, setakat ini, lima PPS dibuka masing-masing empat di Setiu, manakala satu di Kuala Nerus.
“Seramai 135 orang daripada 44 keluarga terjejas setakat ini,” katanya di sini semalam.
Kawasan yang terjejas di Setiu ialah Kampung Bari Besar, Kampung Chalok Kedai, Kampung Merbau Menyusut dan Kampung Gong Terap sementara di Kuala Nerus adalah Kampung Alor Damat.













