fbpx
MOHD. SAFUAN menunjukkan keadaan kaki kirinya akibat penyakit kaki gajah ketika ditemui di Flat Perda, Teluk Kumbar, Balik Pulau baru-baru ini.

‘Saya pun mahu kahwin, ada anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Seorang pemuda tabah menempuh kesengsaran hidup sejak 15 tahun lamanya setelah menghidap penyakit kaki gajah atau lymphatic filariasis yang kini membesar dengan anggaran berat 50 kilogram (kg).

Mohd. Safuan Ishak, 32, kini tidak lagi berupaya bergerak selepas tahap kesihatannya sema­kin merosot.

Menurut pembantu kedai bur­ger itu, dirinya kini hanya mengharapkan bantuan keluarga serta rakan untuk membawanya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang.

“Kaki kiri yang semakin membesar sejak lima tahun lalu menyebabkan saya sukar berjalan dan terpaksa guna tongkat.

“Badan pun menjadi tidak selesa kerana kerap demam, dise­rang asma serta pening sehingga sukar untuk tidur,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Terdahulu, Mohd. Safuan yang tinggal di rumah keluarganya di Flat Perda, Teluk Kumbar di sini dikunjungi wakil pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohammad Firdaus Yusp bersama Sukarelawan Nek Norbi.

Dalam kunjungan itu, Mohd. Safuan menerima Bantuan Kecemasan Segera ZPP bernilai RM300.

Dia berkata, penyakit itu dikesan sejak lahir dan doktor memaklumkan tiada jaminan rawatan khusus bagi membuang kandungan air pada kaki kiri dan saiznya akan semakin membesar.

“Ketika usia 15 tahun, kaki mula membengkak kemerahan pada betis dan kemudian membesar seperti saiz sebiji bola semasa saya ber­umur 20-an.

“Saya hanya berharap tahap kesihatan saya kembali normal seperti sediakala dan mempu­nyai pendapatan tetap.

“Saya juga menanam hasrat untuk berkahwin dan ada anak, namun melihat keadaan ini, saya tidak mampu lagi untuk menunaikan impian itu,” ujarnya.

Mohd. Safuan kini menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebaji­kan Masyarakat sebanyak RM450.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Safuan di talian 017-552 5459. -K! ONLINE

POPULAR