fbpx
MOHD. KAMAL HAMDI

‘Saya memang rasa tidak sedap hati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kebimbangan seorang lelaki selepas adiknya gagal dihubungi terjawab apabila lelaki itu terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini tengah hari semalam.

Mayat Muhammad Hafiz Hamdi, 31, ditemui pada pukul 10 malam selepas terperangkap hampir 10 jam dalam runtuhan tersebut.

Menurut abang mangsa, Mohd. Kamal, 40, dia mengetahui mengenai kejadian tanah runtuh itu dan berkongsi mengenainya dalam kumpulan Whatsaap keluarga.

Katanya, walau bagaimanapun Muhammad Hafiz yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu tidak memberi sebarang respon.

“Biasanya apabila saya kongsikan maklumat, dia beri maklum balas dan beritahu lokasi kejadian namun kali ini, dia diam sahaja.

“Saya hubungi dia beberapa kali tetapi gagal. Ketika itu, saya memang berasa tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Mohd. Kamal, kebimbangannya terjawab apabila rakan sekerja adiknya itu memaklumkan Muhammad Hafiz terlibat dalam tragedi tersebut.

Jelas, dia yang masih ragu-ragu tidak menunggu lama dan segera ke lokasi kejadian bagi mendapat gambaran sebenar nahas tersebut.

“Adik mempunyai dua anak yang masih kecil. Setiap hari dia berulang-alik memandu lori untuk mengambil sayur dari Cameron Highlands.

“Saya kasihan dengan adik ipar yang masih trauma,” katanya.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampung halaman di Parit Tanjung Piandang, Parit Buntar.

Selain Muhammad Hafiz, kejadian itu turut mengorbankan pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, yang dijumpai pada pukul 9.30 malam tadi. -K! ONLINE.

POPULAR