fbpx

Kerajaan peruntuk RM25 juta untuk Transformasi Pasar Malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama peniaga ketika meninjau gerai selepas merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia (HPPK 2021) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam KPKT di Putrajaya di sini, hari ini.- FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan program Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu akan mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan serta keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’.

“Pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat untuk mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah. Diharapkan semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri dapat mengadaptasi pendekatan program ini di seluruh negara.

“Sehubungan itu, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi pelaksanaan program Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK 2021) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Tambah beliau, kerajaan turut memberikan peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil sebagai tanda komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil.

“Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain,” jelas beliau.

Menurut Ismail Sabri, penerima biaya tidak dikenakan sebarang kadar keuntungan sebaliknya hanya kos pengurusan sebanyak 1 peratus atas kutipan yang diterima dan nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun.

“Saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kelulusan permohonan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI