fbpx
Gambar hiasan

Tuntutan palsu PKM DUN Jabi dilapor kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Isu tuntutan palsu berjumlah RM11,900 melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang mendapat teguran dalam Laporan Audit Negara 2019 telah dilapor kepada pihak berkuasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah membuat laporan polis sebaik mendapat menerima maklumat berhubung ketirisan itu menerusi laporan audit berkenaan pada bulan September lalu.

“Kita mahu kes pemalsuan dokumen tuntutan ini disiasat (pihak berkuasa). Kita terbuka dan tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang.

“Pegawai terlibat menguruskan dokumen tuntutan perbelanjaan tersebut juga telah meletakkan jawatan (baru-baru ini). Tiada kompromi dalam dalam soal integriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman mengulas pendedahan Laporan Audit Negara 2019 Siri 2 melibatkan tuntutan palsu PKM DUN Jabi terhadap Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Besut pada tahun 2019.

Berdasarkan laporan yang dibentangkan pada Sidang DUN Terengganu baru-baru ini, semakan mendapati lima resit asal pada tuntutan pembayaran yang dibuat PKM DUN Jabi tersebut telah dipinda manakala satu lagi resit didapati palsu.

Azman berkata, tuntutan pembayaran tersebut telah dilunaskan PTD Besut tidak melibatkan mana-mana akaun peribadi individu sebaliknya ke dalam akaun PKM DUN Jabi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar Terengganu itu juga memberitahu, pembayaran semula lebihan tuntutan sebanyak RM11,900 kepada PTD Besut juga telah dilakukan baru-baru ini. – K! ONLINE

POPULAR