BERA – Seorang lelaki warga emas Orang Kelainan Upaya (OKU) yang hilang dari rumahnya selepas keluar menaiki motosikal kelmarin ditemui ‘tersesat’ di Port Dickson Negeri Sembilan hari ini.
Mangsa, Soh Leng 69, yang mengalami masalah cacat pendengaran dan bisu bagaimanapun ditemui selepas mengalami kemalangan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Abang mangsa, Soh Ong, 70, berkata, mangsa yang ‘tersesat’ sejauh kira-kira 145 kilometer ke Port Dickson mengalami kecederaan parah dan dirawat di sebuah hospital selepas pengsan akibat kemalangan.
“Dia keluar dari rumah pada waktu pagi bagi mencari kotak dan tin kosong yang menjadi rutin kerjanya dan tidak pulang ke rumah menyebabkan saya serta ahli keluarga mencari tetapi tidak berjumpa.
“Saya dimaklumkan pihak berkuasa hari ini, dia ditimpa kemalangan di Port Dickson dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Seremban,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa tidak mengingati jalan untuk pulang ke rumah menyebabkan dia terus menunggang motosikal tanpa arah tujuan.
Katanya, mangsa kemudiannya ditemukan orang awam terbaring di tepi jalan sebelum dihantar ke hospital.
“Pada masa ini ahli keluarga mangsa serta anak-anaknya yang berada di Kuala Lumpur telah bergegas ke hospital berkenaan,”ujarnya. – K! ONLINE.