fbpx

Sokongan Malaysia kepada Palestin tidak pernah berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Israel digesa menamatkan keganasan, pencerobohan berulang, penindasan sistematik dan jenayah apartheid terhadap rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, gesaan itu adalah satu bentuk sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia dan tanda solidariti dengan rakyat Palestin yang telah sekian lama berjuang demi kebebasan dan kemerdekaan mereka.

Katanya, rakyat Palestin telah sekian lama menderita di bawah penjajahan Israel yang melakukan sekatan, diskriminasi, penafian hak asasi, rampasan tanah serta harta benda berskala besar dan pelbagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

“Malaysia bersama dengan masyarakat antarabangsa bersatu dengan tujuan yang sama bagi mencari jalan bagi penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan kepada Palestin.

“Rakyat Palestin berhak mendapat keadilan dan keamanan malah masyarakat antarabangsa berhutang kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Malaysia akan secara aktif menjayakan agenda Palestin termasuk melalui pelbagai forum serantau dan antarabangsa ke arah merealisasikan aspirasi rakyat Palestin untuk kebebasan.

Selain itu, katanya, Malaysia mahu merealisasikan negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya berdasarkan perkara yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

“Malaysia akan terus memberi sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai mengiktiraf aspirasi generasi baharu aktivis negara itu ke arah merealisasikan harapan rakyatnya demi kebebasan dan negara yang merdeka.

“Ketegasan ini seiring dengan Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin yang mana sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI