fbpx

Nazri tidak pernah terima wang berkaitan projek terowong dasar laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazri dan Guan Eng

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak pernah menerima wang RM500,000 daripada seorang ahli perniagaan berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di Pulau Pinang.

Mohamed Nazri, 67, juga menyatakan beliau tidak menerima wang daripada ahli perniagaan itu, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli sebagai balasan memperkenalkannya kepada Lim Guan Eng untuk mendapatkan apa-apa projek di negeri tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, Zarul Ahmad yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) pernah memberikan wang kepada beliau untuk disumbangkan kepada sekolah-sekolah agama di daerah Pattani, Selatan Thailand.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau mula mendapatkan sumbangan untuk sekolah-sekolah agama di Pattani sejak 1990-an.

Jelas saksi pendakwaan ke-14, beliau yang berasal dari Hulu Perak dan berketurunan Pattani kerap mengadakan lawatan di daerah itu dan mendapati sekolah-sekolah agama di sana dalam keadaan dhaif.

Sebelum itu, ketika membacakan pernyataan saksi, Mohamed Nazri berkata, beliau mengenali Zarul Ahmad sebagai ahli perniagaan sekitar tahun 90-an namun mereka tidak mempunyai hubungan rapat dalam urusan perniagaan mahupun politik.

Ujarnya, Zarul Ahmad pernah memberitahu beliau berhasrat mengenali `seseorang yang kuat’ di Pulau Pinang bagi membantunya mendapatkan projek di negeri itu.

“Dia tidak nyatakan projek apa, selepas itu saya mengambil inisiatif menghubungi Lim Guan Eng dan memberitahu bahawa seseorang ingin berjumpa beliau berkaitan sebarang projek di Pulau Pinang,” ujarnya.

Saksi berkata, Guan Eng adalah kenalannya sejak tahun 90-an kerana sama-sama terlibat dalam bidang politik sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Menteri lagi.

Menurut Mohd. Nazri, beliau kemudian mengatur pertemuan di antara Guan Eng dan Zarul Ahmad pada awal Januari 2011 di Hotel Shangri La di sini yang mana pertemuan dibuat di pub hotel berkenaan.

Tambahnya, permintaan Zarul Ahmad itu mahupun pertemuan pada waktu malam selepas waktu pejabat, bukan sesuatu yang luar biasa.

Namun, saksi berkata, beliau tidak mengingati sama ada Zarul Ahmad pernah meminta Guan Eng memilih syarikatnya terlibat dalam projek di Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI