Oleh MOHD. AZLI ADLAN, ABDUL RAZAK IDRIS, ROHANA MOHD. NAWI, ISWAN SHAFIQ ISA OTHMAN YAHAYA dan HARIS FADILAH AHMAD
PETALING JAYA – Rata-rata umat Islam di negara ini merayu kerajaan tidak menaikkan kos mengerjakan ibadah haji kerana mereka tidak mampu menanggung beban peningkatan perbelanjaan ekoran masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
Bakal jemaah haji yang kebanyakan berusia 60 tahun ke atas berharap kerajaan prihatin dengan nasib mereka yang masih bergelut dengan pendapatan sebagai pekerja kampung selain mengharapkan duit anak-anak setiap bulan.
Malah rata-rata mereka turut meluahkan kebimbangan hajat menunaikan rukun Islam kelima itu bakal tertunda lagi selepas terpaksa memenuhkan kembali ‘kantung’ Tabung Haji.
Di Kedah, seorang pesara tentera, Muhammad Shukri Dan, 55, berkata, sebarang peningkatan kos haji sangat membebankan jemaah yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.
“Dari segi moral kami sudah lama dihimpit tekanan kerana penagguhan itu dan jika kenaikan kos haji tahun hadapan berlaku, kemungkinan kami sekali lagi terkandas kerana tidak mempunyai wang secukupnya.
“Diharap kerajaan berbuat sesuatu termasuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi atau kenaikkan kos itu ditampung sepenuhnya oleh Tabung Haji,” katanya ketika ditemui di rumahnya Taman Ria Jaya, Sungai Petani.
Di Pahang, seorang peneroka Felda Tekam Utara, Jerantut, Abdul Majid Mat Ali, 67, berkata, sejak pandemik Covid-19 harga kelapa sawit jatuh sehingga memaksa dirinya mengeluarkan simpanan di Tabung Haji untuk berbelanja dan menyelesaikan pelbagai hutang.
“Kini walaupun harga sawit sudah melonjak hampir empat angka bagi satu tan, tetapi kalangan peneroka masih dalam proses pemulihan pendapatan,” katanya semalam.
Di Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ali, 43, berkata, sekiranya had jemaah masih dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi, maka kerajaan wajar menanggung kenaikan kos dalam bentuk subsidi.
Katanya, ini memandangkan jumlah tangungan kerajaan telah berkurangan berbanding sebelum pandemik.
“Saya hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah dan antara individu yang paling terkesan sepanjang pandemik Covid-19 kerana tidak mempunyai pendapatan sampingan lain,” katanya yang telah menyimpan wang sejak lebih 10 tahun lalu untuk tujuan itu.
Luahan sama disuarakan seorang wanita dikenali Latifah, 56, yang mahu kerajaan mengkaji lebih mendalam sebelum memutuskan sebarang kenaikan yang pastinya membebankan ramai pihak.
Sementara itu, di Selangor, seorang perunding insurans, Ahmad Sukri Abu, 33, berkata, kenaikan kos tersebut sudah pasti membebankan dirinya selepas menunggu giliran selama dua tahun bagi menunaikan haji bersama ibunya, Sharifah Shafie,71.
Kata Ahmad Sukri, peluang menunaikan rukun Islam kelima amat dinantikan selepas menerima suntikan termasuk vaksinasi sebagai syarat utama kepada bakal-bakal haji.
“Penangguhan dua tahun berturut-turut sebelum ini mengundang kekecewaan, jadi jangan disebabkan kos meningkat ramai terus berputih mata merindui lambaian kaabah,” luahnya. -K! ONLINE














