SELEPAS mendapat kunci yang diserahkan pemaju kepadanya pada penghujung Jun lalu, Mohd. Bukhari Adnan, 42, berasa sangat teruja untuk mendiami kondominium yang dibelinya itu bersama ahli keluarga.
Apatah lagi, kediaman yang terletak di Bandar Teknologi, Kajang, Selangor itu merupakan rumah pertama yang dibelinya selepas hanya mampu menyewa sejak berkahwin kira-kira 17 tahun lalu.
Namun, selepas mendengar berita mengenai kejadian dua kanak-kanak maut akibat terjatuh dari bangunan pangsapuri dan kondominium minggu lalu, hatinya mula tidak keruan apabila memikirkan keselamatan lima anaknya yang kini berusia enam hingga 15 tahun.
“Jika difikirkan risiko membeli rumah berstatus strata ini, memang sangat tinggi terutama berkaitan isu keselamatan kanak-kanak.
“Apatah lagi sewaktu menerima kunci rumah dan mula memasukinya Jun lalu, tiada sebarang jeriji dipasang di semua tingkap termasuk di ruang balkoni di rumah saya yang terletak di tingkat 16.
“Saya tidak pasti adakah itu polisi yang diamalkan oleh semua pemaju, ataupun bagaimana. Apa yang pasti, saya masih belum membuat keputusan untuk tinggal di rumah tersebut sehinggalah saya memasang semua jeriji yang perlu agar tahap keselamatan anak-anak saya terjamin,” katanya yang merupakan kakitangan kerajaan.

Kebimbangan sama turut dirasai seorang lagi pembeli rumah berstatus strata, Norizan Mohd. Darawi, 38, apabila membuat tempahan untuk membeli sebuah kondominium di satu projek perumahan di Nilai, Negeri Sembilan.
Dia yang bekerja sebagai guru di Seremban berkata, rumah yang dibelinya pada harga sekitar RM380,000 itu juga tidak dilengkapi jeriji sebagai pemasangan standard oleh pemaju.
“Baru-baru ini, saya ada melihat video viral yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berjalan dengan meniti ruang luar balkoni rumahnya tanpa sebarang peralatan keselamatan.
“Kecut perut saya dibuatnya apabila melihat video tersebut. Saya mula membayangkan apa akan jadi sekiranya kanak-kanak tersebut tergelincir dan jatuh.
“Lebih menyeramkan kalau perkara sama berlaku kepada anak-anak saya. Isu-isu seperti ini membuatkan saya mula terfikir adakah membeli rumah bertingkat ini satu keputusan tepat bagi saya.
“Apa perlu saya buat untuk tingkatkan tahap keselamatan rumah saya nanti yang dijangka diterima pada pertengahan tahun depan,” katanya.
Pada 6 November lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas dikatakan terjatuh dari ringkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Penemuan mayat kanak-kanak tersebut hanya diketahui selepas seorang kakitangan pengurusan kediaman tersebut menemui mangsa di tingkat lapan kondominium itu pada pukul 2.41 petang sebelum melaporkannya kepada polis.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dikatakan ditinggalkan seorang diri dalam keadaan pintu rumah berkunci oleh bapanya yang ketika itu keluar membeli barang di kedai berdekatan.
Sehari selepas itu, kejadian hampir sama turut berlaku di sebuah kondominium di Batu Caves, Selangor apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan kediaman tersebut.
Menurut siasatan pihak polis, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkap sebuah bilik di rumah tersebut ketika sedang bermain dan memanjat sebuah katil yang terletak di tepi tingkap.
Ketika kejadian, mangsa berada bersama seorang adik lelaki berusia empat tahun dan seorang ibu saudara berusia 36 tahun.
Dalam sebuah video berdurasi 33 saat yang tular di media sosial baru-baru ini pula, seorang kanak-kanak perempuan dilihat memanjat balkoni rumah keluarganya dan bermain di ruang luar balkoni tersebut tanpa menggunakan sebarang alatan keselamatan.
Malah, tindakan kanak-kanak itu yang meniti ruang luar balkoni dan sempat menjengah rumah jiran, sebelum kembali memanjat pagar besi untuk masuk ke rumahnya turut mendapat perhatian netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai mengundang padah.
Mengulas lanjut mengenai isu ini, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA), Saral James Maniam berkata, isu keselamatan kanak-kanak yang tinggal di kediaman berstatus strata seharusnya tidak dipandang mudah oleh semua pihak.
Katanya, ia ekoran banyak berlaku kes kecelakaan maut akibat terjatuh dari bangunan kediaman.

Ujarnya, walaupun boleh dikatakan kesemua kejadian itu berlaku tanpa disengajakan, namun perlu diberi perhatian serius memandangkan ia semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan kanak-kanak semata-mata kerana sudah menjadi sifat semula jadi, mereka akan cuba meneroka dan melakukan perkara baharu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Golongan ibu bapa juga tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana saya pasti, semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka selamat ketika berada di mana juga termasuk di rumah,” katanya.
Tegasnya, terdapat dua perkara utama perlu diberi perhatian dalam isu keselamatan kanak-kanak di kediaman berstatus strata.
Pertama katanya, pembeli atau pemilik rumah perlu memastikan tahap keselamatan kediaman mereka berada pada tahap optimum, iaitu memasang jeriji di semua tempat terbuka seperti balkoni dan tingkap serta tidak meletakkan perabot atau peralatan bersaiz besar dan tinggi berhampiran tingkap.
Selain itu, jelasnya, setiap keluarga perlulah mengenal pasti tingkah laku anak-anak sama ada normal atau pun hiperaktif.
Kedua jelasnya, pemaju seharusnya mempertimbangkan agar menjadikan pemasangan jeriji di semua tingkap dan balkoni sebagai satu standard keselamatan tambahan sebelum menyerahkan kunci kepada pembeli.
Ini kerana, ujar Saral, tidak semua pembeli rumah berstatus strata mempunyai kemampuan dari segi kewangan, khususnya golongan B40 dan yang berpendapatan rendah untuk memasang jeriji yang menelan kos ribuan ringgit.
“Bagi FOMCA, kami sebenarnya memang ada perancangan untuk menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan syarikat pemaju perumahan untuk diadakan satu pertemuan bagi membincangkan isu ini.
“Kami berasakan, sudah tiba masanya isu-isu berkaitan keselamatan penghuni di rumah kediaman berstatus strata diberi perhatian khusus dengan memastikan setiap projek perumahan bertingkat perlu memenuhi kehendak keselamatan minimum.
“Ia termasuk mengubah ketinggian minimum pagar balkoni daripada 1.5 meter kepada 1.8 meter hingga 2 meter, pemasangan jeriji tinggap sebagai wajib, dengan kos pemasangannya boleh diserapkan ke dalam kos jualan rumah jika perlu” katanya.
Tambahnya, pemaju perumahan juga harus memberi kebenaran kepada pemilik untuk memasang jeriji di ruang balkoni sekiranya mereka ingin berbuat demikian dengan mengenakan syarat minimum dalam usaha meningkatkan keselamatan penghuni di unit bangunan kediaman tersebut.














