fbpx

Wabak JE diisytihar di Kota Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musnahkan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar rumah anda bagi mencegah penularan penyakit JE. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengisytiharkan wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar selepas mengesan dua kes jangkitan penyakit itu pada bulan ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo memberitahu, kes pertama dilaporkan pada 18 November lalu disusuli kes kedua pada 25 November.

“Berikutan itu, wabak JE telah diisytiharkan oleh jabatan ini pada 25 November lalu.

“Pesakit bagi kedua-dua kes tersebut telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di negeri ini sehingga Khamis lalu adalah 10 kes berbanding lapan kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus dengan tiga daripada 10 kes telah meninggal dunia,” ujarnya.

Menurutnya, aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta-merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan JKNK.

“Antara tindakan kawalan ialah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Selain itu dilakukan kajian entomologi oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terlibat,” jelasnya.

Kata beliau, bagi mencegah penularan penyakit JE, masyarakat diseru supaya mengelakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah.

“Selain itu, tindakan menyembur aerosol di dalam rumah sekitar pukul 10 malam boleh dilakukan bagi membunuh nyamuk dewasa.

“Bersihkan kawasan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga diminta supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI