fbpx
SYAHMI masih mempunyai kontrak sehingga musim 2023, namun dilepaskan lebih awal oleh pengurusan Selangor FC kerana pemain itu mahu menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.

Syahmi tinggalkan skuad Gergasi Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JODOH pemain serba boleh pasukan Selangor FC, Syahmi Safari untuk terus menyarung jersi keramat ‘Merah Kuning’ tidak kesampaian selepas
kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama dengan berakhir secara rasmi bulan ini.

Sebagai rekod, Syahmi masih mempunyai kontrak sehingga musim 2023 tetapi dilepaskan lebih awal kerana difahamkan mahu menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor, pihak pengurusan rasa berat untuk melepaskan khidmat pemain yang sudah berbakti bersama skuad utama sejak musim 2017 tetapi terpaksa melakukan demi kelangsungan kelab.

“Biarpun berat untuk kelab melepaskan Syahmi, persetujuan bersama ini dibuat berdasarkan pembayaran pampasan yang boleh membiayai pelbagai program pembangunan bola sepak di negeri Selangor.

“Selain itu, kelab juga hanya bersetuju apabila terdapat kehadiran pemain lain yang berkebolehan dan berkualiti untuk mengisi kekosongan yang di­tinggalkan Syahmi.

“Selangor FC amat menghargai khidmat Syahmi sepanjang bersama Gergasi Merah dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya di dalam karier bola sepak pada masa akan datang,” kata kenyataan tersebut.

Difahamkan, kehilangan ­khidmat Syahmi yang beraksi di posisi pertahanan kanan tidak terlalu dirasai oleh skuad kendalian Michael Feichtenbeiner dengan kehadiran semula ­pemain muda berpotensi, Quentin Cheng daripada pinjaman.

Quentin yang berusia 22 tahun telah mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang kempen Liga M musim ini ketika mewakili Penang FC sehingga membantu kelab itu menduduki tangga ketiga Liga Super.

Syahmi dan Quentin ketika ini masing-masing menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya yang sedang melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura bulan depan.

POPULAR