fbpx

KL City ke final selepas 32 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Melaka United dan KL City gagal dipisahkan sepanjang 120 minit perlawanan sehingga saingan diheret ke penentuan sepakan penalti. - Foto IHSAN MELAKA UNITED

MELAKA – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) berjaya menamatkan kemarau 32 tahun untuk mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka United menerusi penentuan penalti 5-3 selepas perlawanan terikat 1-1 di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Pada aksi yang terpaksa ditunda lebih satu jam ekoran gangguan elektrik itu, pasukan pelawat kendalian Bojan Hodak membariskan kesebelasan terbaik dengan meletakkan dua pemain import sensasi, Paulo Josue dan Romel Morales.

Pengendali Sang Kancil, Zainal Abidin Hassan turut membuat percaturan ampuh dengan jentera serangan diketuai oleh gandingan Sony Norde, Giovane Da Silva dan Manuel Ott.

Skuad tuan rumah berjaya melakukan beberapa siri percubaan awal hasil sepakan Norde tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.

Bagaimanapun, tuah lebih memihak kepada The City Boys yang membuka jaringan menerusi ledakan pemain sayap, J. Partiban pada minit ke-8.

Tersentak dengan gol tersebut, Melaka memperkemaskan jentera serangan dengan Norde serta pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya tetapi Kevin Ray kekal cemerlang mengawal gawang KL City.

Bersambung pada babak kedua, skuad Melaka tampil lebih segar dan terus mengasak dengan sekali lagi menguji Mendoza hasil ledakan awal pemain sayap, Khairul Anwar Shahrudin.

Namun, gol penyamaan yang dicari pasukan tuan rumah akhirnya tiba selepas Syamim meledak gol menerusi gerakan sepakan penjuru yang diambil oleh Norder pada minit ke-65.

Jaringan tersebut membuatkan pasukan tuan rumah lebih ghairah dalam memburu gol kemenangan bagi tidak menghampakan hampir 20,000 penyokong yang hadir ke Stadium Hang Jebat kali ini.

Namun, kecemerlangan yang ditampilkan oleh Mendoza yang juga penjaga gol antabangsa Filipina berjaya mengheret saingan ke masa tambahan.

Pada saingan 30 minit masa tambahan, skuad Melaka semakin terdesak untuk mencari gol kemenangan selepas KL City terus berdisiplin bertahan dengan peluang terbaik hadir menerusi percubaan Adriano tetapi tidak membuahkan sebarang hasil.

Perlawanan akhirnya terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti dengan semua pemain KL City berjaya menunaikan amanah yang diberikan.

Namun, penyerang Melaka United, Giovane gagal menyudahkan sepakan penalti yang ditugaskan kepadanya ketika dua rakan sepasukan, Adriano dan Norde tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Mendoza.

Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin lepas.

KL City dijadualkan bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa depan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI