fbpx

Syahmi Irfan tak menyesal tinggalkan skuad badminton negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAHMI IRFAN

SELEPAS lebih setahun ‘menggantung’ raket badminton, penyanyi meningkat naik, Syahmi Irfan mengakui bukan mudah sebenarnya untuk membuat keputusan beralih bidang daripada sukan kepada dunia seni.

Ujar penyanyi berusia 20 tahun itu, banyak tanggapan dan cakap-cakap kurang enak yang perlu dihadapi selepas mengambil keputusan menjadi seorang penyanyi.

Namun, dek kerana minat, Syahmi meneruskan langkah mengejar cita-citanya.

Baginya, keputusan yang dilakukan adalah atas kehendak sendiri. Dia mahu mencuba nasib bergelar anak seni walaupun tahu perjalanan kelak bukan mudah.

Biarpun tidak lagi bermain di gelanggang badminton secara profesional, Syahmi masih mengikuti perkembangan badminton negara lebih-lebih lagi ada dalam kalangan pemain merupakan seniornya ketika bergelar pemain negara.

“Seronok tengok senior-senior saya bermain badminton. Walaupun saya tidak lagi memegang raket, saya tetap memberikan sokongan kepada mereka walaupun saya tidaklah sampai ke tahap itu (cemerlang).

“Sekarang pun ramai pemain muda meningkat naik seperti Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao. Mereka antara pemain yang belum ada kedudukan (ranking) yang bagus, namun mereka bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara,” jelas Syahmi.

Selepas mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dalam arena sukan, Syahmi menolak andaian bahawa keputusannya untuk menghenti penglibatan dalam sukan badminton kerana mengejar populariti bergelar artis.

Akui Syahmi, prestasinya ketika menyertai pasukan Junior Badminton tidak begitu menyerlah selain mengalami kecederaan sehingga membataskan hasratnya untuk bergelar pemain badminton profesional.

Bangga

“Lagipun saya lihat perjalanan dalam bidang sukan itu agak sukar. Jadi saya ambil keputusan untuk cuba nasib dalam industri muzik pula.

“Nak cakap pasal rugi atau tidak, sebenarnya memang sejak kecil lagi saya habiskan masa dengan badminton. Dari segi pengalaman saya dalam sukan, banyak,” katanya.

Melanjutkan bicara, Syahmi yang sebelum ini pernah menyertai program Lagu Cinta Kita musim kedua berduet bersama Yazmin, memberitahu hubungan dengan gadis tersebut tidak lebih sekadar rakan seperjuangan.

Selepas berakhirnya program tersebut, masing-masing membawa haluan sendiri. Namun pada masa sama, Syahmi bangga dengan pencapaian karier rakan duetnya itu yang semakin menyinar bukan sahaja sebagai penyanyi, bahkan juga pengacara.

“Hubungan saya dengan Yazmin hanya sekadar rakan. Kami sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.

“Baru-baru ini pun saya ada nampak dia jadi pengacara untuk sebuah program hiburan. Saya bangga dengan dia,” jelasnya.

Selepas muncul dengan single sulung berjudul Mungkir pada tahun lalu, Syahmi atau nama lengkapnya Muhammad Syahmi Irfan Mohd. Nadzri sentiasa menunggu peluang oleh pihak pengurusannya, Indigital Music untuk merakamkan single kedua jika mempunyai rezeki.

Ujar Syahmi, sebagai penyanyi, penghasilan lagu baharu adalah sesuatu yang selalu ditunggu-tunggu olehnya, namun pada masa sama, dia tidaklah terlalu mengejar populariti.

“Kalau ada rezeki, saya nak orang kenal lagu-lagu saya dahulu. Tidak kenal saya pun tak mengapa, asalkan orang kenal lagu saya.

“Bila orang kenal lagu, lambat-laun orang akan kenal juga saya nanti,” katanya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI