fbpx
Penyerang JDT, Gonzalo Gabriel (kiri) cuba dihalang oleh pemain pertahanan Terengganu FC, Muhammad Hairiey sambil diperhatikan oleh Bergson Da Silva pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JDT sah ke final selepas belasah TFC 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tiket ke pentas akhir Piala Malaysia selepas menjinakkan skuad Sang Penyu 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Dua gol jaringan Bergson Da Silva dan satu gol yang dihasilkan Gonzalo Cabrera membolehkan Harimau Selatan menang dengan agregat 4-1.

Pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) yang diramal menjadi pertembungan sengit jauh meleset sama sekali apabila pasukan tuan rumah mudah meledak tiga gol dalam tempoh 15 minit permainan.

Beraksi di hadapan lebih 17,000 penonton, penyerang import kelahiran Brazil itu membuka jaringan pada minit keenam hasil sepakan voli dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Gawang Terengganu FC (TFC) sekali lagi bocor pada minit ke-10 menerusi larian lipas kudung Arif Aiman Hanafi yang mengumpan bola kepada Afiq Fazail lalu menghantar kepada Bergson yang mendada bola itu kepada Cabrera untuk meledak gol kedua permainan.

Pasukan kendalian Nafuzi Zain dilihat bagai hilang punca itu terus dihukum JDT menerusi jaringan kedua Bergson apabila menghukum kesilapan benteng pertahanan lawan pada minit ke-14.

Perlawanan itu bertukar tegang setelah pemain senior Harimau Selatan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah setelah menghantuk kepala Faisal Halim pada minit ke-16.

Biarpun bermain dengan 10 pemain, JDT dilihat masih mampu menyaingi TFC, bahkan Bergson hampir melengkapkan hatrik pada perlawanan itu menerusi percubaan pada minit ke-56 namun rembatannya sedikit tersasar.

Barisan pertahanan JDT yang dibarisi Mauricio Dos Santos, Shane Lowry, S. Kunanlan, Matt Davies dan Arif Aiman berjaya mengekang serangan lawan bagi memastikan tiada gol dapat dihasilkan.

JDT perlu menunggu sehingga tengah malam ini untuk mengetahui siapakah lawan mereka di pentas final setelah perlawanan separuh akhir antara Melaka United dan Kuala Lumpur City FC baru bermula pukul 10.08 malam disebabkan masalah teknikal.-K! ONLINE

POPULAR