fbpx
Semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Pulau Pinang seperti aktiviti ceramah, majlis gotong royong dan sebagainya dibenarkan diadakan secara bersemuka berkuatkuasa Subuh esok.

Semua aktiviti imarah masjid, surau di Pulau Pinang dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Pulau Pinang dibenarkan diadakan secara bersemuka berkuatkuasa Subuh esok.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, antara aktiviti pengimarahan yang dibenarkan merangkumi majlis rasmi dan aktiviti sosial seperti aktiviti ceramah agama, kelas pengajian, mesyuarat jawatankuasa, majlis akad nikah, jamuan makan dan program gotong.

“Selain itu, kebenaran juga diberikan kepada penceramah atau khatib jumaat dari luar negeri Pulau Pinang untuk menyampaikan ceramah, khutbah jumaat.

“Namun, penceramah atau khatib tersebut perlu mendapatkan vaksinasi lengkap, keputusan ujian saringan RTK negatif dan mendapat kebenaran khas daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jemaah yang bukan ahli kariah juga dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah secara berjemaah di mana-mana masjid atau surau di seluruh Pulau Pinang.

“Kebenaran juga diberikan untuk pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di semua masjid, surau Jumaat, surau negeri mengikut keluasan ruang solat dan ruang yang bersesuaian.

“Kawasan tersebut hendaklah dipagari bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilakukan dengan sempuna,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kesemua kebenaran berkenaan masih tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – K! ONLINE

POPULAR