fbpx

Polis siasat himpunan MBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis siasat himpunan MBM

PUTRAJAYA – Polis akan menjalankan siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta 342 terhadap Badan-Badan Gabungan Terbesar, Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengadakan perhimpunan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, A. Asmadi Abdul Aziz, berkata, pada pukul 1.35 hingga 3.15 petang, seramai 60 peserta terdiri daripada Ahli-Ahli Gerakan Belia 4B Malaysia berhimpun di luar pekarangan lobi utama, KBS, Presint 3 dan di hadapan balai pengawal utama, Bangunan Perdana Putra.

Ujarnya, mereka berkumpul untuk menyerahkan memorandum bantahan penurunan had umur memegang jawatan di dalam persatuan belia kepada 30 tahun.

“Sebelum menyerahkan memorandum, peserta terbabit telah berhimpun di persimpangan Jalan P4Y, Presint 4 untuk mendengar ucapan daripada lima individu.

“Pada awalnya kumpulan ini bercadang untuk berarak daripada KBS ke Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, namun dibatalkan atas nasihat polis,” katanya hari ini.

Penyerahan memorandum itu bertujuan mendesak kerajaan mempertimbangkan cadangan melalui ucapan Ahmad Faizal di Parlimen pada 17 November lalu bagi mengehadkan umur mana-mana individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun.

Asmadi berkata, polis sudah mengenal pasti penganjur program berkenaan dan termasuk mengeluarkan notis kepada individu terbabit untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya esok bagi membantu siasatan.

Katanya, laporan lengkap dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Antara ahli-ahli Badan-Badan Gabungan Terbesar Majlis Belia Malaysia (MBM) yang hadir pada program itu termasuklah Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badarin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang merangkap Majlis Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd. Imran Tamrin; Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohamad Nazri Abdul Latiff dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md. Nor. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI