fbpx
Ismail Sabri ketika berucap mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-13 secara maya, di sini hari ini.

PM tekan agenda pertumbuhan hijau, kesalinghubungan ASEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Polisi pertumbuhan hijau dan pembangunan mampan wajar dijadikan agenda penting yang berterusan dalam usaha memperkasakan ekonomi masyarakat dan negara.

Demikian antara intipati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-13 secara maya di sini hari ini.

Dengan membawa tema Pertumbuhan dan Pembangunan Inklusif dan Mampam, beliau pada sesi plenari pertama itu merujuk komitmen negara ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“September lalu, saya melancarkan pelan lima tahun ini selari keutamaan kemajuan negara kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa Bersatu,” katanya.

Ini merupakan penampilan julung kali beliau pada persidangan dwitahunan yang dimulakan di Bangkok, Thailand pada 1996 lalu serta kini disertai 21 negara Asia dan 30 negara Eropah.

Kemboja menjadi tuan rumah persidangan kali ini secara maya yang sepatutnya berlangsung pada tahun lalu namun dianjak kepada tahun ini susulan isu kebimbangan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pendekatan Malaysia menjayakan inisiatif SDG secara tempatan harus dijadikan rujukan dalam dunia menuju ke arah ekosistem yang lebih hijau.

“Kerajaan saya juga kekal komited menjadikan Malaysia untuk lebih awal mencapai status negara sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang sasaran ditetapkan pada 2050,” katanya.

Menyentuh agenda kesalinghubungan, beliau menyeru semua negara mengambil langkah konkrit bagi memenuhi objektif dan prinsip ke arah menjayakan pelan transformasi digital.

Beliau mengambil contoh kesan pandemik Covid-19 yang tanpa disedari telah menawarkan peluang luas untuk masyarakat memanfaatkan sumber jalur lebar kepada pelbagai dimensi.

“Justeru, marilah kita mempromosikan dan memudahcara akses rakyat-kepada-rakyat yang mampu memacu sektor sosio-ekonomi termasuk bisnes, pendidikan dan kesihatan,” jelasnya. – K! ONLINE

POPULAR