fbpx

Pendapatan nelayan Perlis merosot 90 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli Pelaris membantah pencerobohan nelayan tidak berdaftar dan penangkapan siput di perairan Perlis, hari ini.

KUALA PERLIS – Kira-kira 700 nelayan pesisir pantai di Perlis terjejas teruk akibat pencerobohan nelayan luar yang menangkap siput secara tidak sah di perairan negeri itu.

Pencerobohan nelayan yang didakwa dari Kedah dan Thailand semakin berleluasa sejak April lalu menyebabkan pendapatan nelayan tempatan merosot.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), Jasni Hashim berkata, pendapatan nelayan terlibat merosot antara 80 hingga 90 peratus sejak aktiviti penangkapan siput dilakukan secara berleluasa.

Katanya, jika sebelum ini, pendapatan nelayan pernah mencecah RM200 sehari, namun kini ada yang hanya membawa pulang tangkapan antara RM15 hingga RM20 sehari.

“Lebih teruk ada nelayan pesisir pantai yang pergi ke laut tanpa membawa pulang sebarang tangkapan serta terpaksa berhutang untuk menanggung kos minyak atau umpan tangkul. Ada nelayan tidak layak menerima bantuan sara hidup bernilai RM300 sebulan kerana tidak turun ke laut,” katanya di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Perlis di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 30 nelayan dari beberapa kawasan di negeri ini membuat protes secara aman membantah aktiviti pencerobohan dan penangkapan siput secara haram di kompleks berkenaan.

Kata beliau, pihaknya juga mendapat aduan daripada ahli persatuan yang mendakwa pencerobohan tersebut dilakukan nelayan tidak berdaftar di negeri ini iaitu dari Kuala Kerpan dan Bukit Malut, Langkawi serta nelayan asing dari Thailand.

“Banyak bot besar dari Kedah datang ke perairan ini dan menangkap siput dengan cara mengaut menggunakan sangkar yang diharamkan. Kaedah itu menyebabkan dasar laut yang menjadi ekosistem pembiakan kepada pelbagai jenis hidupan laut rosak,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI